



Pada hari Isnin 9 Ogos yang lalu, saya berkesempatan untuk berjumpa dengan penanam-penanam sayur di Kg. Che Long/Pak Bang. Bersama-sama dengan saya saya sewaktu lawatan itu ialah Penolong Pegawai Pertanian Daerah Kuala Terengganu, Che Ku Rafah binti Che Ku Abdullah.
Di sana saya dibawa untuk melihat sendiri tanaman yang ditanam oleh petani-petani di kampung tersebut. Di antara tanaman yang diusahakan oleh mereka ialah salad, tebu, labu air, kacang bendi dan jagung.

Sedang melalui batas tanaman itu. Di depan saya ialah Che Ku Rafah, di belakang saya ialah En Ibrahim dan disebelah kirinya ialah En Idris bin Jusoh, Pengerusi Pertanian Berkelompok di Kg.Che Long
Selepas melihat tanaman yang diusahakan oleh mereka, saya kemudiannya dibawa ke rumah Encik Yusof, salah seorang petani di kampung itu bersama-sama dengan Che Ku Rafah untuk sesi dialog dengan petani-petani di kampung itu bagi mendengar masalah yang di hadapi oleh mereka.
Di antara masalah yang disuarakan ialah mereka memerlukan beberapa peralatan pertanian untuk membantu mereka meningkatkan tahap produktiviti hasil pertanian tersebut. Saya juga dimaklumkan oleh Penolong Pegawai Pertanian Daerah, tanah di Kg. Che Long amat sesuai untuk tanaman salad. Jadi di kesempatan itu saya mencadangkan agar mereka membuat keseragaman dari segi tanaman. Mereka bersetuju dengan cadangan yang diberikan selagi pihak atasan membantu mereka untuk memasarkan hasil tanaman mereka dengan lebih meluas. Untuk ini pejabat saya akan menghubungi FAMA dan meninjau bagaimana agensi tersebut boleh membantu.
Sebelumnya hasil pertanian dihantar oleh petani-petani di kampung itu ke pasar borong yang terletak di Gong Pauh. Isteri kepada Yusof mengambil inisiatif untuk mengumpul dan menghantar hasil-hasil itu ke pasar borong tersebut. Kadang-kadang dia terpaksa berulang-alik dengan motosikalnya yang sudah uzur sampai empat hingga lima kali sehari. Memandangkan had muatan yang kecil motosikal itu, Yusof menghampiri saya dan memohon untuk saya usahakan sebuah motosikal roda tiga bagi memudahkan isterinya membawa semua hasil pertanian itu tanpa perlu berulang-alik.
Saya kemudiannya, terus menghubungi Encik Mohd Shafaruddin bin Mustaffa, Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPK) bagi bertanya samaada YPK mempunyai apa-apa peruntukan sumbangan motorsikal roda tiga kepada keluarga seperti Yusof. Beliau berbesar hati untuk membantu dan meminta nama isteri Yusof untuk tindakan YPK. Kemudian saya meminta Encik Ibrahim bin Abd Rahman, Pengerusi JKKK Kg. Pak Bang untuk mengangkat permohonan ini dalam minggu ini juga untuk saya mengambil tindakan susulan dengan Mohd Shafaruddin dan pegawai-pegawai YPK. Apabila hendak balik, saya telah dihadiahkan dengan salad dan labu air hasil dari tanaman mereka yang pada hemat saya mempunyai kualiti yang setanding dengan yang ada di pasaraya di Kuala Lumpur.
Sebelum pulang saya melihat seorang wanita kampung itu sedang membuat sesuatu di beranda rumahnya, saya tertarik untuk melihat apa yang dilakukan olehnya. Rupa-rupanya beliau sedang mewarna kain batik. Saya meminta izin untuk mencuba dan dia memberikan berus kepada saya.
Apa yang menarik ialah penduduk di Kg Che’ Long adalah mereka yang rajin berusaha, berbakti kepada bumi dan mempunyai kreativiti demi mencari sumber pendapatan untuk menanggung keluarga.




Sebenarnya pada hari Isnin sebelumnya, saya mengadakan perjumpaan dengan ahli-ahli persatuan di Terengganu Trade Centre (TTC). Di sana saya menyampaikan sumbangan alas meja kepada semua ahli-ahli persatuan yang berniaga di Taman Syahbandar.
Antara rintihan mereka ialah, mereka rasa terkilan kerana mereka tidak boleh menjalankan urus niaga kerana tapak pasar malam itu sering kali dijadikan tapak Ekspo dalam tempoh yang agak panjang yang melibatkan hari Jumaat d imana mereka tidak boleh menjalankan perniagaan mereka. Ini menyebabkan pendapatan mereka terjejas.Ada di antara mereka memaklumkan kepada saya pada tempoh-tempoh berkenaan ada kalanya mereka tidak mampu untuk membayar ansuran bulanan van atau kenderaan mereka.
Saya mengharapkan agar pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menimbang untuk meletakkan syarat kepada penganjur Ekspo supaya membayar pampasan yang berpatutan kepada peniaga-peniaga pasar malam. Paling tidak ia dapat meringankan beban mereka.
Semasa walk-about tersebut, Tuan Haji Wan Mohamad bin Wan Abdullah, Yang Di Pertua Persatuan, membawa saya berjumpa dengan seorang peniaga yang menghidap penyakit jantung. Menurutnya dia memerlukan rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). Saya telah meminta pejabat saya untuk membantu beliau bagi mendapatkan rawatan di IJN.




Kebebasan bersuara adalah satu perkataan, bahkan senjata yang digunakan oleh dunia barat apabila Islam di hina, di remehkan atau di persendakan. Salman Rushdie, seorang novelis Inggeris, menulis The Satanic Verses pada tahun 1988 menghina Nabi Muhammad s.a.w. Sementara dunia Islam bangkit membuat bantahan, dunia persuratan barat mempertahankan karyanya atas nama kebebasan bersuara dan berkarya – bahkan kemudiannya menganugerahkannya dengan the Booker of Bookers. Seolah-olah ianya belum mencukupi, Kerajaan British telah menganugerahkannya dengan gelaran “Sir” – sebagai penghargaan kepada “jasanya” di bidang sastera dan persuratan.
Begitu juga pada awal tahun 2006 apabila akhbar Denmark Jyllands-Postens menerbitkan karikatur Nabi Muhammad s.a.w. dunia barat dengan cepat mempertahakannya sebagai hak dan kebebasan untuk berkarya yang tidak boleh disekat lansung. Dunia Islam, sekali lagi menyuarakan bantahan dari Maghribi sampai ke Indonesia. Dari Iran hinggalah ke Tunisia.
Persoalannya: adakah hak dan kebebasan bersuara ini tidak mengenal sempadan dan batasan? Tentunya tidak ada kebebasan mutlak di mana-mana pun. Seorang yang mempunyai lesen bebas untuk membawa kereta di jalanraya, tetapi dia tidak bebas untuk melanggar pokok atau tiang letrik yang akhirnya akan menyusahkan orang ramai.
Saya fikir dalam beberapa keadaan, dunia barat pun mengiktiraf sekatan kebebasan ini. Tetapi ini hanya di dalam situasi tertentu sahaja. Situasi itu boleh diringkaskan begini. Anda boleh menyuarakan apa sahaja, menghina sesiapa sahaja – selagi anda tidak mengkritik Yahudi sebagai bangsa atau Israel sebagai negara.
Dalam tahun 1987, satu persembahan yang berjodol Perdition yang diilhamkan oleh Jim Allen telah dihentikan oleh Royal Court Theatre di London lebih kurang 36 jam sebelum ianya dijadualkan. Juara dan ibu demokrasi, wira kepada hak dan kebebasan bersuara akhirnya tunduk kepada tekanan Zionis hanya kerana persembahan itu mempertikaikan holokaus. Satu percubaan untuk mempersembahkannya di Dublin juga ditahan kerana tekanan yang sama.
Tun Dr. Mahathir telah diselar oleh Presiden George W. Bush kerana ucapan beliau pada tahun 2003 yang antara lainnya mengatakan bahawa bangsa Yahudi memerintah dunia secara proksi. Persuruhjaya Tinggi kita di London pula di panggil ke Pejabat Komonwel dan Luar Negara bagi membolehkan kerajaan Biritish menyuarakan pendirian mereka bahawa ucapan Dr Mahathir adalah sesuatu yang “tidak boleh di terima”.
Helen Thomas, pada usianya 89 tahun, adalah dianggap sebagai doyen kepada koresponden antarabangsa. Beliau adalah ahli kepada White House Press Corps – atau kumpulan wartawan dan koresponden antarabangsa yang berpusat di Rumah Putih. Mengambil kira usianya yang lanjut, beliau tentunya mempunyai pengalaman yang amat luas sebagai wartawan. Thomas merupakan satu-satunya wartawan media cetak wanita yang sempat mengikuti Presiden Nixon dalam lawatan bersejarah Nixon ke China pada tahun 1972.
Apa kesalahan Thomas minggu lalu? Kesalahannya mudah. Beliau telah mengkritik serangan tanpa provokasi oleh rejim Israel kepada flotila misi kemanusiaan dengan mengatakan bahawa “reaksi awal kita terhadap pembunuhan ini, pembunuhan yang disengajakan ini, jenayah antarabangsa ini, adalah amatlah menyedihkan”. Apa yang berlaku kepada Thomas hasil dari kecaman yang datang dari hati kecilnya ini? Adakah media Barat mempertahankannya atas nama kebebasan bersuara?
Tidak sama sekali. Bahkan Craig Crawford yang pernah mengarang buku bersama Thomas berjudul Listen Up Mr. President: Everything You Always Wanted Your President to Know and Do telah mengumumkan tidak akan berkerjasama lagi dengan Thomas berkait dengan penulisan buku di masa depan. Nine Speakers Inc pula mengumumkan telah menggugurkan Thomas sebagai klien mereka kerana komen Thomas tersebut. Walt Whitman High School telah membatalkan ucapan konvokesyen yang sepatutnya di sampaikan oleh Thomas.
Ini lah makna sebenar kebebasan bersuara di Amerika. Dan ini lah “Impian Amerika”.
Helen Thomas, yang pernah menemu ramah, menyoal tubi dan bertikam lidah dengan 10 orang presiden Amerika Syarikat sepanjang 67 tahun kareernya akhirnya meletakkan jawatan sebagai koresponden dan memasuki alam persaraan.
Nyatalah bahawa Helen Thomas tidak ada tempat di dalam janji Presiden Obama di dalam bukunya sebelum menjadi presiden – “Keberanian Menggapai Harapan- Gagasan Meraih Kembali Impian Amerika”.




Ari nim Mamat suke-ang sangat awe bulih bawok khète hök die baru beli. Bukang khète sèkèng hèng. Nöp mujo berape hèng döh döp tahu. Maklunglah Prötöng Sagaa tahung lapang pulöh nang. Tapi bulèh tahang lagi pèsèngang.
Lepah ambék minyök kat stèsèng Èso depang hötè Permaa Ing, Mat Ppayang pung slo-slo bawök khete hale ke Marang. Kalu orang alik Marang, berahi sungguh kate Maraang num, kedaa buloh!
Mamat nop tuju hale ke Marang tu bukannang ape. Cume die nöp traa laju tare mane khète nim. Orang putih kate macang test drive lah könöngnye. Pelèk jugöp Mat Ppayang nim. Orang traa sebelung beli, die traa lepah pade beli.
Sapaa di trapik lait sipang masjid terapung kat Kuale Ibaa, lapu trapik warne mèröh. Sementare tunggu lapu tukkö warne ijaa, Mamat kheling kiri kanang tèngök khète laèng banyok ke dop. Pèsèngang linang mölèk tu. Mase tu lèwat döh tèkpong, Mamat tèngök jang dalang puko 1 pagi.
Mase nöp naèk jambattang Kuale Ibaa, Mamat kheling ke kedaa ikang bakö Pök Hamid bawöh tu. Berase lapö göp, tapi ök dulu, sebab nök traa tèngok khète nim laju ke döp. Hale balik kèkgi bulih singgöh. Lepah trapik lait sipang ke Tamang Perming Jaye, Mamat pung perèh minyök sungguh dèh – sapaa sutuk kaki die nye tekang. Mètaa naik sapaa 110km tu! Orang jamang lenim kate baru cool, Mamat mari mmikir ssörang. Imboh sunggöh terik nim.
Döp dang sapaa balaa pölih Cendering, jerènggèng rok blök hök JPJ wat sekali dengang pölih. Mbék nöp sangat. Cool duane hape duane. Bile Mamat tèngök rok blök nye berèk berrakak. Pölih muda tu pakat konstabel, baru kena posting minggu lepah ke bahagiang trapik. Naséb baik dia orang Bukit Bading. Dekat sikit boléh berulang. Gaji pertame pung döp léh lagi. Hök nim pung öperasi hök dia wat mule-mule skali. Capur same pucat dengang orang hök kene tahang. Mamat tengöh cari jalang care mane nöp pelepah ke diri nim.
Die tanye Mamat, “lèsèng cik? Nim lebih had laju parök bedö’öh nim.”
Mamat jawak, “saye tak dop lèsèng starang.”
“Acu tubék dari khète.” Mamat pung tubék.
“Khète sape ni”? pölih tu tanye Mamat.
“Saya baru curi kemarèng,” Mamat kate, muke die ssikit döp beruböh, sading je.
Pölih mude tu pènik dengang muke pucat kesi. Tapi tebèng jugöp tanye Mamat, “mari duane nim?”
“Mari Pasir Putih, bawök berah siang 5 guning dengan rökök gudang garang 60 duh. Ade dalang bönèt belakang khète tu,” Mamat kate.
Mamat tèngok pölih mude tu peloh rejak kat pipi, titik tak tak tak. Malang-malang pung peloh nim! Pölih tu belari gi kat boh die. Mamat napök ralik ngat duduk cakak dengang boh die. Mamat bang dengö ape pende hök die polih tu kabör ke böh die. Bunying belake, berah dengang rökök seluduplah, khète curi lah, tak döp lèsèng lah.
Inspèkte tu mari jembe ke Mamat. “Mung tak döp lèsèng?” die tanye.
Mamat pun wat tubék bég pitih die, ambék lèsèng die nye wi ke Inspèkte tu. Jerènggèng tulih “B2” dengang “D” kat lèsèng die. Hèrang.
“Khète nim mung curi?” Inspèkte tu tanye Mamat.
“Döp ah tuang, saya baru beli petang saknim kat kedaa depang jabbat amnö Gong Kappah. Ning töh gerang die”. Mamat pung ulo gerang khète tu. Inspèkte tu hèrannang. Guane pulop ginim.
“Acu mung buke bonèt aku nop tengok.”
Mamat pung gi alèk belakang Prötöng Sagaa tu ambèk anök kuci buke bönèt. Inspèkte tu jengök muka die tengök tak döp mende starang dalam bönèt tu. Kösöng. Lege macang suraa. Tak döp mende satu saa harang! Hèrang lagi!
Inspèkte tu napök macang pelèk sikit muke die. “Aku hèrang. Sakning budök aku kata mung tak döp lèsèng bawök khète curi hök ade barang seludup dalang.”
Mamat pung jawak dengang penoh control macho, “Herang ape tuang, budök tu kuat leböng tu, pale haliang tu tuang. Mesti dia kabö ke tuang könöng-könöng saya bawök laju saknim tu….. saye döp bawök laju starang tuang!”
Pèsèngang lepah nim ade orang kene tukö jage lokap döh pèsèngangnya!




Saya mengenali Saifuddin Nasution Ismail, MP sejak tahun 1998. Pada masa itu saya baru sahaja memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Terengganu. Saifuddin pula baru dilantik sebagai Penolong Setiausaha Pemuda Umno Malaysia oleh ketuanya pada masa itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kami menghadiri kursus kepimpinan di sebuah pusat agro di Setiu.
Hari terakhir kursus Zahid datang bersama-sama dengan Saifuddin dan Rahim Ghouse. Itu lah kali pertama saya bertemu dengan Saifuddin. Pada masa itu, saya melihat dia sebagai seorang yang tahu apa yang dia buat. He gave the impression that he knew what he was doing. Dan sementara kami tidak terlalu akrab, tapi persahabatan kami bercambah disitu.
Saya seorang yang liberal di dalam persahabatan tanpa membataskannya melalui sempadan politik kepartian. Sebab itu selepas peristiwa 2 September 1998 dan pemecatan beliau dari Umno, kami sentiasa bersalam dan bertanya khabar bila berjumpa. Lebih-lebih lagi pada satu masa, Saifuddin menjadi jiran kepada abang saya di Taman Setiawangsa. Bahkan saya boleh berkongsi cerita bagaimana sebagai jiran yang baik, Saifuddin berjaya membantu untuk mengejar pencuri yang memecah masuk rumah abang saya.
Tetapi minggu lepas saya terbaca berita tentang ulasan Saifuddin berhubung dengan ucapan Datuk Seri Zahrain Hashim MP (Bayan Baru) di Dewan Rakyat. Beliau merujuk Zahrain dan rakan-rakannya yang keluar PKR untuk menjadi MP bebas dengan menggunakan perkataan “BN’s attack dogs, hired mercenaries“. Saya tidak tahu apa terjemahan yang tepat kepada istilah ini, tetapi bolehlah di rujuk sebagai “anjing serangan dan askar upahan” kepada BN.
Saya fikir kali ini Saifuddin akan terlajak di dalam ulasannya. Lebih-lebih lagi dia membayangkan seolah-olah ucapan Zahrain adalah disediakan oleh BN. Malaysiakini memetik Saifuddin sebagai berkata: They are prepared texts and manufactured issues.Hanya kerana seseorang itu keluar parti maka secara automatik dia menjadi anjing serangan dan askar upahan. Masalah Zahrain sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Umno. Dia tidak keluar PKR untuk masuk Umno. Bahkan pendiriannya terhadap ISA amat jelas. Dia sudah menyatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan Akta itu. Zahrain sebenarnya sudah penat dengan sandiwara di dalam PKR. Kenapa Umno diseret sama di dalam perhitungan intra group ini? Sebagai parti politik, Umno pun kadang-kadang ada masalah sesama sendiri. Tetapi kita tidak pernah dengar Umno menuduh PKR atau Pas sebagai yang menyediakan skrip apabila ada berlaku tohmah mentohmah sesama kita.
Kalau seseorang itu ada hak untuk masuk parti, sudah tentu dia mempunyai hak yang sama untuk keluar. Ini jaminan Perlembagaan Persekutuan. Bacalah Fasal 10. Adakah satu kesalahan yang amat besar untuk seseorang keluar partinya sehingga melayakkan dia untuk dipanggil anjing serangan dan askar upahan? Adakah PKR dan pemimpin mereka, tidak kira pemimpin de facto atau de jure telah mencapai tahap kesempurnaan sehingga mereka menjadi untouchables and beyond criticism?PKR bukan lah satu-satunya pertubuhan politik yang ahli mereka mempunyai sejarah keluar dari parti. Umno pun mempunyai sejarah tersendiri. ADUN dari Bota keluar dari Umno untuk masuk PKR pada 25 Januari 2009. Bukan keluar PKR untuk jadi ADUN Bebas, tetapi ADUN PKR. Ulang, ADUN PKR. Ada kita dengar saranan dari PKR supaya dia melepaskan jawatan ADUN bagi membolehkan pilihanraya kecil di adakan? Ada kita dengar Umno membuat solat hajat 7 hari berturut-turut sambil menjaja poster: “Lepaskan jawatan kamu sebagai ADUN Bota atau Ya Allah Hancurkan Nasaruddin Hashim”?
Benar Datuk Nasaruddin Hashim keluar Umno dan masuk PKR untuk satu tempoh yang singkat. Tetapi selepas gambarnya tertera di media dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memakai jaket logo PKR kepadanya, saya tidak pernah mendengar dia digelar anjing serangan atau askar upahan. Saya pun tidak dengar fatwa dari Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang halal haramnya tindakan Nasaruddin itu. Menggelarnya sebagai pecah amanah kepada rakyat atau buaya di balik batu.
Mungkin pada satu-satu masa kita boleh mengatakan setiap kali pembangkang di dakwa di mahkamah ia adalah satu konspirasi. Mungkin pada satu-satu masa kita boleh berkata bila ADUN atau MP pembangkang melompat parti mereka adalah barang dagangan yang boleh di jual beli. Mungkin pada satu-satu masa kita boleh mengatakan bahawa sesiapa yang menentang pembangkang adalah pengkhianat yang penuh dengan kurap-kurap kesalahan. Tetapi, tidak pada sepanjang masa dan tentunya tidak kepada semua rakyat. Logical fallacy ini tidak sepanjang masa dapat mengabui mata rakyat. Ada masa dan ketikanya ia tidak diterima lagi. Ini lah realpolitik yang sebenarnya.


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 