18 Feb 2009 @ 11:01 AM 

kota london menyingkap harinya
di tengah dingin subuh dan gelap hari pagi

dan kaku langkah ku di sini mencari erti hidup
di celah terowong hyde park yang hancing dan jijik basahnya
di sini juga seorang busker dengan dunia kelamnya
dalam nyaring bingit muzik yang sudah hilang merdu
bersama seorang tramp yang gawat jatidirinya
lewat janggut yang tidak terurus dan lusuh baju yang tidak berbutang
tangan kirinya longlai menggamit botol whisky
sedang ketar tangan kanannya memegang topi yang terlingkup
sekali sekala ku dengar deringan penny yang jatuh ke topi
yang padanya adalah muzik yang abadi
buat modal mencari whisky murah lagi

kota london udara winter nya menyerap sampai ke tulang
basah hujan tadi malam bagai lebih mencengkam
di sini langkahku mula terhenti
dalam pasrah qadha Tuhan
syukurku padaMu tidak mengenal erti sempadan
sujudku padaMu tidakkan kunjung padam

Hyde Park
17 Februari 2009

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 18 Feb 2009 @ 11 01 AM

EmailPermalinkComments (0)
 09 Feb 2009 @ 9:52 AM 

PERIHAL AHLI POLITIK, NEGARAWAN DAN JANJI

 

Ada orang bertanya saya – apakah bezanya seorang ahli politik dengan negarawan? Ini sebenarnya mengingatkan saya kepada kata-kata James Freeman Clarke: A politician thinks of the next election, a statesman thinks of the next generation (“Seorang ahli politik memikirkan tentang pilihanraya yang berikutnya, manakala seorang negawaran akan memikirkan tentang generasi yang berikutnya”). Tentunya ini adalah kenyataan yang sarat dengan falasafah yang tersendiri.

 

Demi untuk dipilih di dalam pilihanraya, seorang ahli politik akan berjanji apa sahaja. Seorang negawan pula akan memikirkan buruk baiknya, kesannya kepada kepentingan rakyat, implikasinya kepada negara dan generasi seterusnya. Dia akan memikirkan kesan jangka panjang kepada negara. Seorang ahli politik akan menjanjikan apa yang lunak didengar – menurunkan harga minyak, menaikkan skim gaji, menghapuskan cukai. Barangkali juga dia akan menjanjikan untuk melaksanakan hukuman hudud sebelum ayam berkokok. Berdepan dengan kesatuan sekerja, ahli politik akan menjanjikan gaji minumum pula.

 

Manakala seorang negarawan akan bertindak mengikut survival negaranya – dia tidak akan memperjudikan nasib bangsanya dengan memberikan nikmat yang kecil dan sementara demi untuk kekal popular. Dia tidak akan menjanjikan sesuatu yang dia tahu dia tidak akan mampu melaksanakannya.

 

“Hebatnya seorang ahli politik”, kata Nikita Khrushchev, “ialah dia akan menjanjikan untuk membina jambatan walaupun tiada sungai”. Barangkali dia akan menjanjikan untuk mewujudkan sungai-sungai sekali.

 

Di dalam ucapan kongres tahunan PKR pada 29 November yang lalu, presiden parti itu, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Ismail menjanjikan untuk  ”mengembalikan kekebalan raja-raja berteraskan semangat Raja Berperlembagaan”. Tambahnya, “inilah erti sebenar harapan baru yang kita bawa”. Kepada orang yang mendengar ucapan ini, tentunya mereka akan membayangkan bahawa “mengembalikan kekebalan raja-raja” ini memberikan maksud bahawa raja-raja melayu tidak akan terdedah kepada sebarang tindakan undang-undang – samaada sivil atau jenayah sama sekali. Barangkali juga seseorang itu dapat dimaafkan kalau selepas mendengar ucapan ini dia merumuskan bahawa Mahkamah Khas di bawah kerajaan Pakatan Rakyat akan turut sama dibubarkan.

 

Nampaknya apa yang telah dan akan berlaku sehari dua ini tidak lansung mencerminkan janji dan aspirasi yang termaktub di dalam ucapan perasmian tadi. Kalau intisari ucapan tadi dijadikan asas untuk berikat janji – nyata sekali ia telah dimungkiri. Itupun dalam tempuh yang terdekat. Sepatutnya kesepakatan di dalam “Pakatan” Rakyat seharusnya membuat satu pendirian yang jelas berhubung dengan isu cadangan tindakan undang-undang ke atas Paduka Seri Sultan Perak. Boleh kah kita merumuskan bahawa sudah tidak ada kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat lagi? Pengerusi DAP bertekad untuk meneruskan tindakan undang-undang ke atas Sultan Perak. Manakala seorang yang masih mengaku dia Menteri Besar Perak mengatakan bahawa dia tidak tahu menahu tentang tindakan saman yang bakal di ambil itu dan menyerahkan kepada pengerusi DAP itu untuk membuat apa-apa keputusan mengenainya. Ketua Umum PKR pula mengatakan dia tidak bersetuju dengan tindakan yang katanya berbentuk persendirian itu.

 

Kalau ucapan presiden PKR tadi dijadikan asas kepada pendirian rasmi Pakatan Rakyat, Pakatan Rakyat perlu mengeluarkan satu kenyataan yang jelas  yang mengikat kesemua parti-parti di dalam “komponen” itu. Saya katakan “komponen” kerana Pakatan Rakyat bukanlah satu pertubuhan rasmi yang didaftarkan seperti Barisan Nasional. Rakyat sebenarnya keliru. Apa sebenarnya pendirian Pakatan Rakyat? Kalau benar pendirian rasmi Pakatan Rakyat untuk tidak mengambil tindakan saman berkenaan, mampukah Pakatan Rakyat membuat pendirian seterusnya bahawa siapa yang mengingkari pendirian ini akan diambil tindakan displin termasuk dipecat keahlian mereka? Rakyat menuntut faham bagaimana pendirian seorang pengerusi parti boleh ditafsirkan sebagai hanya pendapat peribadi. Karpal Singh bukanlah orang biasa. Dia pengerusi DAP dan DAP di dalam Pakatan Rakyat. Dia seorang ahli parlimen yang senior di Dewan Rakyat. Bahkan dia seorang peguam kanan yang pernah mewakili ketua umum PKR itu.

 

Saya fikir rakyat sedang menunggu. Rakyat juga sedang memerhati. Samada jambatan akan dibina walaupun tiada sungai. Rakyat juga sedang mengamati dan rakyat juga bakal menjatuhkan hukuman. Akhirnya rakyat yang bijaksana akan juga menghakimi siapa sebenarnya ahli politik dan siapa sebenarnya negarawan.

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 09 Feb 2009 @ 09 56 AM

EmailPermalinkComments (3)
 04 Feb 2009 @ 10:47 PM 
JANGANG NNEBENG

Di dalam slanga Terengganu perkataan nnebeng maknanya satu situasiperbuatan yang melampau – yang melangkaui sesuatu yang berpada-pada. Ianya berasal dari perkataan tebeng yang sebenarnya memberi maksud ‘cuba’. Seorang ibu yang memberi amaran kepada anaknya tentang bahaya semak samun akan berkata : mung jangang tebeng gi kat rokk tu, tebeng-tebeng gi kang nya pagut di ulo ( bhs std. “Kamu jangan cuba ke kawasan semak samun di situ, kalau cuba pergi juga nanti akan di patuk ular).

Tebeng juga kadang-kadang merujuk kepada keadaan yang memaksa-maksa dengan bertubi-tubi. Ia juga merujuk kepada satu desakan. Kadang-kadang seseorang manusia apabila dipaksa dengan bertubi-tubi dia akan membuat reaksi balas. Dan reaksi balas ini selalunya berlawanan dengan apa yang dihajati oleh orang yang memaksa atau mendesak itu. Contohnya kalau seorang itu berhajat untuk memberikan sebiji bola kepada kawannya. Tetapi kawannya mendesak supaya diberikan dengan lima biji bola. Akhirnya kerana di desak dengan bertubi-tubi, dia membuat keputusan untuk tidak memberi walau sebiji bola sekali pun. Maka orang ketiga menyaksikan kejadian itu akan membuat ulasan seperti ini: nye tebeng mitok lima nang utir tu, sudohang sutir dok leh. Mbek nok sangat ! (bhs std. “Dia mendesak supaya diberikan dengan lima enam biji bola, kesudahannya satu pun dia tidak dapat. Itulah, nak sangat!”).

Jadi nnebeng sebenarnya merujuk kepada perbuatan yang melampau-lampau. Orang yang dipaksa tadi akan berkata kepada rakannnya itu: mung jangang nnebeng sangat. orang laeng pong nok jugok. Tebeng tebeng kang, kek gi aku tak mboh wi ke mung wala sutir pong (bhs std. “Kamu janganlah desak saya sampai begitu, orang lain pun memerlukan bola juga. Kalau kamu mendesak saya juga, saya tidak akan berikan bola ini walau sebiji pun kepada kamu”).

Ringkasnya perbuatan nnebeng adalah satu kelakuan yang negatif yang akhirnya memberikan kesan yang negatif juga. Sebab itulah di dalam kehidupan seharian, di dalam teknik pengurusan, di dalam gaya pentadbiran bahkan di dalam sahsiah peribadi kita, kita hendaklah mengelakkan sifat nnebeng ini. Ringkasnya kalau ia mendorong kepada sifat yang negatif ia boleh dikatakan sebagai satu sifat mazmumah - sifat yang dikeji.

Ada cerita di sebalik istilah nnebeng ni. Ada sepasang suami isteri tinggal disebuah kampung. Mereka telah lama berkahwin. Tetapi si suami tidak pernah mengecapi kebahagian di dalam rumah tangga yang didirikan sekian lama. Kenapa? Kerana isterinya tidak ada kerja yang lain melainkan berleter sepanjang masa. Pagi, petang, siang dan malam. Kalau suami duduk dirumah dileternya sebagai pemalas. Kalau suami keluar rumah dibebelnya sebagai  tidak ingat rumah tangga. Kalau di bawa balik makanan di katakan membazir kerana dia sudah masak dirumah. Kalau tidak bawa bawa balik makanan dikatakan sanggup biarkan dia kelaparan. Pendek kata, semuanya tak kena. Dan suami menjadi sasaran leteren si isteri. Akhirnya si suami sudah tidak tahan dengan leteran yang berlarutan sehingga bertahun-tahun lalu diceritakan kepada rakan baiknya di warong kopi yang berhampiran.

“Senang saja,” kata sahabatnya. “Di hujung kampung ada sebuah perigi tua yang lama tidak diguna orang. Esok kamu ajak dia ke sana dan kamu buang saja dia ke dalam perigi tu”, sahabatnya meneruskan cadangan. Kadang-kadang sahabat yang merosakkan pun ramai.

Tanpa berfikir panjang selepas subuh keesokkannya, si suami mengajak isterinya “bersiar-siar kehujung kampung”. Si isteri ikut, tetapi di dalam perjalanan leteran tetap diteruskan. “Apa sebab kamu ajak aku kehujung kampung pagi-pagi buta ni. Kamu tak ada kerja lain ka…… “. Sampai di perigi buta tersebut, si suami menyuruh isterinya menjengok ke dalam perigi dan tanpa membuang masa, di tolaknya si isteri ke dalam. Dengan gembira, si suami pulang ke rumah.

Selepas asar, si suami mula merasa kesunyian. Bertahun-tahun mendengar leteran tiba-tiba rumah sunyi sepi. Bagai negeri di langgar garuda lagaknya! Rupa-rupanya leteran isterinya itu adalah muzik kepada telinganya. Halwa telinga. Manusia ini hanya mula menghargai benda apabila sesuatu itu telah tidak ada. Dengan penuh penyesalan, si suami terus mencari tali yang kasar lalu dia terus ke pergi buta dihujung kampung selepas waktu maghrib. Diapun berhati-hati, maklumlah orang yang bersalah memang begitu.

Sampai dihujung kampung, si suami terus mencampakkan tali itu ke dalam perigi buta dan mula mengangkat balik. Terasa berat. Sebab hari sduah gelap, dia tak nampak. Menggunakan segala  kudrat dan kekuatannya diangkatnya juga, sehingga dia memegang tangan yang mula keluar dari perigi tersebut. Lalu disambutnya tangan itu, tetapi dia terasa tangan itu penuh dengan bulu, sedangkan tangan isterinya tidak pernah berbulu. Tak kan lah hanya satu malam di dalam pergi buta tangan boleh jadi berbulu?

“Kamu siapa?” tanya si suami.

“Aku penunggu perigi ini. Aku di sini puluhan tahun sehingga semalam ada orang perempuan jatuh dalam telaga ini dan dia berleter-leter sebab suami dia campakkan dia. Tak henti-henti leterannya dari semalam. Asyik membebel saja. Aku tak tahan dengan leteran dia. Aku rela keluar dari perigi ni, tak jaga pun tak apalah.”

Maka, selepas menceritakan kisah ini si ibu akan berkata kepada anaknya: mung tengok! kalau mung nnebeng nnebeng, bukang nang orang jer beci ke mung, jing pong beci jugok! (bhs std. “Lihatlah, kalau kamu berperangai yang melampau-lampau, bukan sahaja manusia yang bencikan kita, jin pun akan benci juga!”).

Oleh itu, apa pun yang kita buat, keputusan apa pun yang kita ambil, jangang nnebeng! Berpada-pada!

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 04 Feb 2009 @ 10 47 PM

EmailPermalinkComments (0)
 01 Feb 2009 @ 9:05 AM 

MUSANG BERBULU MUSANG

Di antara Perdana Menteri Britain yang saya selalu ikuti sejarah dan biographinya ialah Winston Churchill. Semasa kunjungan saya ke London tahun lepas saya mengambil kesempatan untuk melawati Churchill Museum and Cabinet War Rooms yang terletak di King Charles Street. Saya di bawa masuk ke bilik bawah tanah dan sempat melihat bilik kecil di mana Churchill mengendalikan Kabinet Perangnya termasuk talipun yang mempunyai akses lansung dengan Presiden Roosevelt di Rumah Putih.

Apa yang menarik minat saya kepada Churchill adalah sementara dia didendangkan sebagai wira perang yang membawa kepada kejayaan Britain di dalam Perang Dunia Kedua, dia juga amat cerdas di dalam kepetahan berkata-kata. Menurut legenda, sebelum daripada pementasan Major Barbara oleh George Bernard Shaw, beliau dengan penuh nada sinis menjemput Churchill untuk menonton pementasan itu pada malam pertama dengan mengepilkan dua tiket percuma. Kata Shaw, “bawalah mana-mana rakan anda, kalaupun anda ada seorang rakan”. Tidak mahu di hina sebegitu rupa, Churchill dengan pantas menghantar telegram kepada Shaw dengan kata-kata: “Dukacita tidak dapat menghadiri pementasan itu pada malam pertama – akan cuba menghadirinya di malam kedua, kalaupun ada malam kedua”.

Entah apa sebabnya, Churchill menyifatkan Clement Attlee, pemimpin parti Buruh yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri pada tahun 1945 sebagai a sheep in sheep’s clothing - dalam konteks simpulan bahasa kita ialah “ayam berbulu ayam”. Kita mungkin biasa dengan musang berbulu ayam, tetapi ayam berbulu ayam ini adalah secara sinis memberikan gambaran bahawa Attlee hanyalah seorang mediocre. Kepada Churchill tidak ada hebatnya zaman pentadbiran Attlee, lebih-lebih lagi Attlee pernah menjadi Timbalannya di dalam kerajaan campuran semasa Perang. Takdir menentukan bahawa Churchill pula yang menggantikan Attlee sebagai Perdana Menteri pada tahun 1951.

Kerana kedahagaannya terhadap darah anak-anak kecil Palestin di Gaza, kerana keupayaannya untuk membunuh atas nama “mempertahankan negaranya” dan kerana ketiadaan lansung sifat perikemanusiaan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert boleh lah di katakan sebagai seorang yang mempunyai pendekatan yang konsisten dan penuh dengan ketelusan. Tidak jauh sifatnya kalau kita kenang kepada peristiwa Sabra dan Shatila semasa Ariel Sharon menjadi Menteri Pertahanan. Pemimpin-pemimpin Israel tidak pernah bersifat apologetik apabila darah berlumuran ditangan mereka – lebih-lebih lagi kalau itu adalah darah wanita dan kanak-kanak Palestin yang tidak berdosa. Wajarlah kiranya kita merujuk mereka sebagai musang berbulu musang.

Menteri Luar regim Israel, Tzipi Livni, tanpa segan silu mengatakan bahawa sebenarnya “tidak ada krisis kemanusian di Gaza”. Tidak mengapa kalau penafian itu disanggah oleh Christopher Gunness jurucakap UN Relief and Works Agency (UNRWA) bahawa penderitaan penduduk Gaza tidak dapat diceritakan oleh perkataan dan lebih satu perempat dari yang terbunuh adalah orang awam. Tidak mengapa kalau hanya beberapa minggu yang lalu empat orang paramedik terbunuh sedang mereka cuba menyelamatkan orang awam Palestin yang cedera. Tidak mengapa jika ambulan diserang dan Hospital Al-Awda di Jabaliya menjadi sasaran bedilan dan bom. Tidak mengapa apabila terbukti bahawa regim Israel menggunakan white phosphorus (WP) di dalam kawasan penduduk awam – bahan yang berasaskan kimia yang boleh meresap melalui kulit ke tulang belulang.

Olmert sebenarnya adalah Perdana Menteri sementara dari Kerajaan sementara. Sebagai pemimpin baru parti Kadima setelah mengalahkan Shaul Mofaz pada September yang lalu, Livni dikatakan sebagai bakal Perdana Menteri regim Israel jika sekiranya partinya memenangi pilihanraya yang akan datang. Walaupun sebagai Perdana Menteri sementara, Olmert sudah memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun dari askar regim Israel akan dihadapkan ke mahkamah antarabangsa atas pertuduhan jenayah perang. Jika kerajaan sementara boleh memberikan jaminan sedemikain, bayangkan pula keangkuhan kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihanraya kelak.

Saya sebenarnya sudah hilang harapan bahawa perubahan akan berlaku di Palestin. Presiden Barack Hussein Obama dikatakan membawa harapan baru dengan The Audacity of Hope dan Change We Believe In. Dua hari lepas dia mengisytiharkan bahawa Amerika akan menutup penjara Guantanamo dan akan “menghentikan perang terhadap umat Islam”. Dalam nada yang sama, beliau akan memperjuangkan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka. Tidak kah George W. Bush membuat janji dan pengakuan yang sama terhadap sebuah Palestin yang merdeka? Tidakkah pentadbiran Bush mempelopori apa yang dinamakan sebagai road map for peace? Saya masih ingat bagaimana Mahmoud Abas telah menelan segala perasaannya dengan menghulurkan tangan kepada Ariel Sharon di Aqaba, Jordan pada Jun 2003. Siapakah yang menjadi saksi kepada permainan ini semua? Tidak lain dan tidak bukan, Bush – seorang lagi musang berbulu musang. Apakah kita masih menaruh harapan kepada janji baru seorang presiden baru? Apakah giliran Obama pula untuk menjadi ayam berbulu ayam?

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 04 Feb 2009 @ 10 45 PM

EmailPermalinkComments (0)
\/ More Options ...
Change Theme...
  • Users » 74
  • Posts/Pages » 54
  • Comments » 624
Change Theme...
  • VoidVoid « Default
  • LifeLife
  • EarthEarth
  • WindWind
  • WaterWater
  • FireFire
  • LightLight

Photo Album



    No Child Pages.

Contact Me



    No Child Pages.

Chat Box



    No Child Pages.

Resume



    No Child Pages.

GuestBook



    No Child Pages.