13 Jul 2009 @ 4:47 PM 

Dato' Ser Mohd Najib Tun Abdul Razak semasa upacara mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Ke 6.( Gambar dipetik dari Bernama )

Semasa menyampaikan ucapan penerimaan jawatan Presiden di hari terakhir perhimpunan agung Umno pada 28 Mac lalu, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi bayangan bahawa Umno akan berubah bagi memastikan kelansungan berterusan parti itu pada masa hadapan. Presiden Umno itu yakin bahawa secara umumnya, rakyat tidak menolak Umno, tetapi “sebenarnya mereka mahu Umno berubah”.

Antara faktor perubahan struktur di dalam Umno yang mahu di lihat oleh rakyat ialah proses pemilihan yang berintergriti yang bebas dari sebarang bentuk sogokan atau penyalahgunaan kuasa. Untuk tujuan itu Majlis Tertinggi (MT) Umno telah menubuhkan Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno yang dipengerusikan oleh Naib Presiden Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. Bahkan jawatankuasa tersebut telah pun mengadakan mesyuarat yang pertama pada bulan lalu.

Berasaskan kepada prinsip “proses pemilihan yang berintegriti” tersebut, perubahan yang dicadangkan oleh Najib ialah pertamanya untuk melibatkan lebih ramai perwakilan dalam proses pemilihan. Keduanya pindaan tersebut akan menjurus kepada memberi ruang yang lebih liberal kepada mereka yang ingin menawarkan diri untuk berkhidmat kepada parti tanpa ada sekatan di dalam bentuk kuota.

Dari segi perspektif sejarah piagam atau perlembagaan Umno yang asal telah dirangka oleh satu jawatankuasa yang dipilih di dalam Kongres Melayu Pertama di Kelab Sultan Sulaiman pada 1 Mac 1946. Ahli jawatankuasa yang dipilih ialah Dato’ Onn Ja’afar sebagai pengerusi dengan yang lain terdiri dari Dato’ Panglima Bukit Gantang, , Dato’ Nik Ahmad Kamil, Dato’ Hamzah Abdullah dan Zainal Abidin Ahmad atau Za’aba. Rangka deraf perlembagaan itu telah diluluskan dengan beberapa pindaan oleh perwakilan Kongres Melayu Ketiga di Istana Besar, Johor Bahru pada 11 Mei 1946 dengan sebulat suara, setelah ianya dibentang dan dibahas dengan panjang lebar.

Semenjak daripada itu tidak banyak perubahan di buat kepada perlembagaan Umno, kecuali selepas ianya diisytiharkan tidak sah oleh mahkamah pada tahun 1988 di mana diperkenalkan undi bonus dan kemudiannya kuota untuk bertanding jawatan-jawatan penting di dalam parti, samaada di peringkat tertinggi hinggalah ke peringkat bahagian.

Pada tahun 1978, Sulaiman Palestin, seorang bekas Ketua Penerangan Umno hanya memerlukan dua pencalunan untuk melayakkannya bertanding jawatan presiden melawan Tun Hussein Onn. Beliau tumpas walaupun mampu mendapat 250 undi, berbanding Hussein yang mendapat 898 undi.

Tahun 1987 menyaksikan pertandingan paling akhir untuk jawatan presiden dan timbalan presiden Umno sebelum pindaan dibuat yang memperkenalkan sistem bonus 10 undi kepada setiap pencalunan yang diterima. Kerana sistem bonus inilah menyebabkan Tun Abdul Ghafar Baba menarik diri dari bertanding mempertahankan jawatan Timbalan Presiden pada tahun 1993 apabila beliau dicabar oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pendekatan “undi bonus” ini dilihat sebagai tidak popular dan mungkin juga tidak berkesan. Perlembagaan Umno di pinda lagi, kali ini memperlihatkan sesiapa yang hendak menawarkan diri sebagai presiden parti hendaklah mendapat sekurang-kurangnya 30% pencalunan daripada jumlah bahagian di dalam parti. Di peringkat bahagian pula, calun yang hendak bertanding sebagai ketua hendaklah mendapat 20% daripada jumlah cawangan yang sah di dalam bahagian itu.

Ada dua kritikan terhadap sistem pemilihan yang ada di dalam Umno sekarang. Pertama sistem kuota ini dilihat sebagai menyekat parti dari memilih pemimpin yag terbaik. Seorang anak muda yang ingin berbakti di dalam parti melihat sukar untuk dia mendapat tempat kerana bukan senang untuk dia di namakan oleh jumlah cawangan yang boleh melayakkan dia bertandiing di dalam bahagian. Umno tidak dilihat sebagai parti yang “mesra kepada ahli baru”.

Keduanya, rakyat secara umumnya sukar untuk menerima bahawa hanya lebih kurang 2,600 orang perwakilan yang menentukan siapa menjadi seorang presiden Umno dan kemudiannya secara hukum adatnya, seorang Perdana Menteri. Suasana dan lanskap politik negara berubah. Mungkin 50 tahun dahulu rakyat boleh menerima bahawa Perdana Menteri ditentukan oleh perwakilan di dalam Umno walaupun jumlah mereka kecil pada masa itu.

Tetapi di dalam era tuntutan rakyat kepada ketulusan dan keutamaan kepada intergriti, Umno harus menilai kembali cara dan bagaimana pemimpin-pemimpin parti dipilih. Rakyat dari pelbagai kaum akan lebih terbuka untuk menerima pemimpin Umno sebagai pemimpin mereka jika proses pemilihan itu tidak tercemar.

Tentunya tidak ada sistem yang sempurna di di dalam memilih pemimpin parti. Tetapi asasnya ialah, biarlah ia merupakan satu “proses pemilihan yang berintergriti dan tidak tercemar”.

Bahkan sistem pemilihan di dalam parti berbeza dari satu negara kepada negara yang lain. Parti Konservatif di Britain umpamanya memilih pemimpin mereka hanya melalui jumlah ahli parlimen parti tersebut di House of Commons. Margaret Thatcher menang melawan William Wihitelaw pada tahun 1975 dengan mendapat 146 undi berbanding Whitelaw yang mendapat 79 undi. Thatcher kemudiannya menjadi Perdana Menteri untuk tempoh 11 tahun sejak selepas parti Konservatif menang di dalam pilihanraya umum pada tahun 1979.

Hakikatnya sukar untuk menolak hujah kenapa sistem yang ada mengizinkan 2,600 orang perwakilan memilih seorang Perdana Menteri yang mewakili 28 juta penduduk negara. Oleh itu tidak menghairankan bahawa Presiden Umno di dalam ucapan penerimaan jawatannya membayangkan bahawa pindaan perlembagaan kelak akan membuka ruang yang lebih besar kepada akar umbi untuk memilih pemimpin-pemimpin tertinggi parti. Bahkan Najib, di dalam ucapan yang sama dengan tegas mengatakan bahawa “saya tidak mahu berselindung disebalik kuota untuk menjadi Presiden Umno”.

Ada cadangan setakat ini yang membayangkan untuk memberi kuasa memilih jawatan-jawatan tertinggi parti kepada semua perwakilan dari cawangan ke mesyuarat perwakilan bahagian. Atas andaian hitung panjang 500 orang perwakilan di dalam satu-satu mesyuarat perwakilan bahagian, maka kuasa memilih kepada 191 bahagian Umno seluruh negara akan melibatkan jumlah yang mencecah 95,500 orang perwakilan. Di dalam proses transformasi parti, ia jika diluluskan kelak, pindaan ini akan memberikan satu empowerment kepada perwakilan cawangan, kerana mereka boleh memilih pemimpin tertinggi parti termasuk ahli MT secara lansung.

Sementara ini hanya diperingkat cadangan, ia merupakan strategi serampang dua mata. Pertama ia mengotakan kata dan janji Presiden untuk membuat satu perubahan dan transformasi parti dengan melibatkan lebih ramai ahli akar umbi untuk memilih pemimpin. Kedua, ianya mengecilkan bahkan menutup terus ruang untuk pengamalan politik wang yang terlalu sinonim dengan pemilihan di dalam parti.

Suka tidak suka Umno menghadapi masalah persepsi yang negatif. Selagi rakyat tidak dapat melihat satu usaha yang bersungguh-sungguh untuk merubah persepsi ini, sukar untuk Umno memenangi kembali hati dan jiwa rakyat. Umno perlu berubah dan perlu dilihat bersungguh-sungguh untuk berubah.

Langkah untuk meminda perlembagaan parti adalah satu langkah yang berani dan drastik yang memberi kredibiliti kepada janji Presiden parti untuk melihatkan “satu proses pemilihan yang berintegriti”.

Sebagai parti yang lama ditubuhkan dan lebih penting lama memerintah, Umno mudah untuk terdorong kepada satu zon yang selesa. Tidak mudah untuk mendapatkan kembali kredibiliti parti yang terhakis selepas PRU ke 12.

Parti Buruh di Britain mempunyai satu persepsi bahawa mereka di kawal oleh kesatuan sekerja. Dasar dan pelaksanaan dasar parti dilihat sebagai tunduk kepada desakan bahkan ugutan pemimpin kesatuan sekerja. Tidak menghairankan apabila mereka gagal menubuhkan kerajaan selepas kekalahan Perdana Menteri James Callaghan pada tahun 1979.

Apabila Tony Blair memimpin parti tersebut pada tahun 1994, dia telah membuat langkah yang berani dan drastik dengan merubah Klaus IV di dalam perlembagaan parti Buruh dalam satu persidangan khas parti itu pada tahun 1995. Dari sebuah parti yang dilihat hanya memperjuangkan nasib pekerja dan pertentangan klas, Buruh muncul sebagai satu parti sosialis demokratik yang memperjuangkan nasib dan masa depan semua komuniti.

Hasilnya di bawah pimpinan Blair dengan pendekatan New Labor, New Life for Britain rakyat telah memberi peluang kepada parti Buruh untuk kembali memerintah dengan majoriti besar 179 kerusi. Blair dan Buruh telah berjaya merubah persepsi ini dan rakyat telah menghargai kesungguhan parti itu untuk berubah.

Mesyuarat perwakilan Umno bahagian yang bermula pada 16 Julai hingga 16 Ogos ini telah diminta untuk mengemukakan cadangan-cadangan pindaan perlembagaan Umno bagi mencapai objektif ini.

Segala usul di peringkat Bahagian akan dibincangkan di dalam Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan untuk diangkatkan kepada Majlis Tertinggi sebelum dibentang didalam Perhimpunan Agung Khas Umno pada Oktober ini. Akar umbi Umno mempunyai peluang ini untuk meniupkan roh baru di dalam Umno. Peluang untuk merubah persepsi negatif terhadap Umno. Gunakanlah peluang ini demi untuk memenangi hari rakyat di dalam PRU ke 13 nanti.

Bak kata Presiden parti, “sayalah diantara pemimpin pertama yang mengungkapkan perkataan berubah sebelum diubah dan berubah sebelum kita rebah”.

*Dato’ Wan Ahmad Farid bin Wan Salleh ialah Setiausaha, Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno.

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 13 Jul 2009 @ 10 32 PM

EmailPermalinkComments (0)
\/ More Options ...
Change Theme...
  • Users » 74
  • Posts/Pages » 54
  • Comments » 624
Change Theme...
  • VoidVoid « Default
  • LifeLife
  • EarthEarth
  • WindWind
  • WaterWater
  • FireFire
  • LightLight

Photo Album



    No Child Pages.

Contact Me



    No Child Pages.

Chat Box



    No Child Pages.

Resume



    No Child Pages.

GuestBook



    No Child Pages.