



MUSANG BERBULU MUSANG
Di antara Perdana Menteri Britain yang saya selalu ikuti sejarah dan biographinya ialah Winston Churchill. Semasa kunjungan saya ke London tahun lepas saya mengambil kesempatan untuk melawati Churchill Museum and Cabinet War Rooms yang terletak di King Charles Street. Saya di bawa masuk ke bilik bawah tanah dan sempat melihat bilik kecil di mana Churchill mengendalikan Kabinet Perangnya termasuk talipun yang mempunyai akses lansung dengan Presiden Roosevelt di Rumah Putih.
Apa yang menarik minat saya kepada Churchill adalah sementara dia didendangkan sebagai wira perang yang membawa kepada kejayaan Britain di dalam Perang Dunia Kedua, dia juga amat cerdas di dalam kepetahan berkata-kata. Menurut legenda, sebelum daripada pementasan Major Barbara oleh George Bernard Shaw, beliau dengan penuh nada sinis menjemput Churchill untuk menonton pementasan itu pada malam pertama dengan mengepilkan dua tiket percuma. Kata Shaw, “bawalah mana-mana rakan anda, kalaupun anda ada seorang rakan”. Tidak mahu di hina sebegitu rupa, Churchill dengan pantas menghantar telegram kepada Shaw dengan kata-kata: “Dukacita tidak dapat menghadiri pementasan itu pada malam pertama – akan cuba menghadirinya di malam kedua, kalaupun ada malam kedua”.
Entah apa sebabnya, Churchill menyifatkan Clement Attlee, pemimpin parti Buruh yang menggantikannya sebagai Perdana Menteri pada tahun 1945 sebagai a sheep in sheep’s clothing - dalam konteks simpulan bahasa kita ialah “ayam berbulu ayam”. Kita mungkin biasa dengan musang berbulu ayam, tetapi ayam berbulu ayam ini adalah secara sinis memberikan gambaran bahawa Attlee hanyalah seorang mediocre. Kepada Churchill tidak ada hebatnya zaman pentadbiran Attlee, lebih-lebih lagi Attlee pernah menjadi Timbalannya di dalam kerajaan campuran semasa Perang. Takdir menentukan bahawa Churchill pula yang menggantikan Attlee sebagai Perdana Menteri pada tahun 1951.
Kerana kedahagaannya terhadap darah anak-anak kecil Palestin di Gaza, kerana keupayaannya untuk membunuh atas nama “mempertahankan negaranya” dan kerana ketiadaan lansung sifat perikemanusiaan Perdana Menteri Israel Ehud Olmert boleh lah di katakan sebagai seorang yang mempunyai pendekatan yang konsisten dan penuh dengan ketelusan. Tidak jauh sifatnya kalau kita kenang kepada peristiwa Sabra dan Shatila semasa Ariel Sharon menjadi Menteri Pertahanan. Pemimpin-pemimpin Israel tidak pernah bersifat apologetik apabila darah berlumuran ditangan mereka – lebih-lebih lagi kalau itu adalah darah wanita dan kanak-kanak Palestin yang tidak berdosa. Wajarlah kiranya kita merujuk mereka sebagai musang berbulu musang.
Menteri Luar regim Israel, Tzipi Livni, tanpa segan silu mengatakan bahawa sebenarnya “tidak ada krisis kemanusian di Gaza”. Tidak mengapa kalau penafian itu disanggah oleh Christopher Gunness jurucakap UN Relief and Works Agency (UNRWA) bahawa penderitaan penduduk Gaza tidak dapat diceritakan oleh perkataan dan lebih satu perempat dari yang terbunuh adalah orang awam. Tidak mengapa kalau hanya beberapa minggu yang lalu empat orang paramedik terbunuh sedang mereka cuba menyelamatkan orang awam Palestin yang cedera. Tidak mengapa jika ambulan diserang dan Hospital Al-Awda di Jabaliya menjadi sasaran bedilan dan bom. Tidak mengapa apabila terbukti bahawa regim Israel menggunakan white phosphorus (WP) di dalam kawasan penduduk awam – bahan yang berasaskan kimia yang boleh meresap melalui kulit ke tulang belulang.
Olmert sebenarnya adalah Perdana Menteri sementara dari Kerajaan sementara. Sebagai pemimpin baru parti Kadima setelah mengalahkan Shaul Mofaz pada September yang lalu, Livni dikatakan sebagai bakal Perdana Menteri regim Israel jika sekiranya partinya memenangi pilihanraya yang akan datang. Walaupun sebagai Perdana Menteri sementara, Olmert sudah memberi jaminan bahawa tidak ada seorang pun dari askar regim Israel akan dihadapkan ke mahkamah antarabangsa atas pertuduhan jenayah perang. Jika kerajaan sementara boleh memberikan jaminan sedemikain, bayangkan pula keangkuhan kerajaan yang akan dibentuk selepas pilihanraya kelak.
Saya sebenarnya sudah hilang harapan bahawa perubahan akan berlaku di Palestin. Presiden Barack Hussein Obama dikatakan membawa harapan baru dengan The Audacity of Hope dan Change We Believe In. Dua hari lepas dia mengisytiharkan bahawa Amerika akan menutup penjara Guantanamo dan akan “menghentikan perang terhadap umat Islam”. Dalam nada yang sama, beliau akan memperjuangkan kewujudan sebuah negara Palestin yang merdeka. Tidak kah George W. Bush membuat janji dan pengakuan yang sama terhadap sebuah Palestin yang merdeka? Tidakkah pentadbiran Bush mempelopori apa yang dinamakan sebagai road map for peace? Saya masih ingat bagaimana Mahmoud Abas telah menelan segala perasaannya dengan menghulurkan tangan kepada Ariel Sharon di Aqaba, Jordan pada Jun 2003. Siapakah yang menjadi saksi kepada permainan ini semua? Tidak lain dan tidak bukan, Bush – seorang lagi musang berbulu musang. Apakah kita masih menaruh harapan kepada janji baru seorang presiden baru? Apakah giliran Obama pula untuk menjadi ayam berbulu ayam?


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 