05 Mar 2009 @ 1:43 PM 
 

P.RAMLEE MENDAHULUI ZAMAN

 

“Sains,” kata Neil Amstrong, “masih belum mampu menguasai keupayaan meramal. Kita terlalu asyik untuk meramal apa yang akan berlaku tahun hadapan, sehingga kita terlupa untuk mengkaji apa yang akan berlaku sepuluh tahun akan datang”.

Tetapi samada ia satu suratan atau kebetulan, banyak daripada filem lakunan dan arahan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang mungkin dianggap remeh bahkan menyempadani komedi pada zamannya hari ini menjadi satu kenyataan. Lama sebelum glasnost dan perestroika diperkenalkan oleh Mikhail Gorbachev di Kesatuan Soviet pada pertengahan 1980an, peminat filem melayu telah mendengar nama negara-negara seperti Congostan, Titistan dan Popostan di dalam Tiga Abdul (1964). Hanya apabila runtuhnya tembok Berlin dan robohnya Kesatuan Soviet 27 tahun kemudian, barulah kita mula tahu bahawa di sana ada negara-negara kecil seperti Kazakhstan, Tajikistan, Turkminestan dan Kyrgyzstan.

Barangkali jugak secara kebetulan, setiap kali saya melihat di dalam YouTube tentang perlawanan tinju kali kedua di antara Mike Tyson melawan Evander Holyfield pada 28 Jun 1997, saya sentiasa teringat kepada Klab Boksing di dalam filem Nasib Si Labu Labi (1963). Apa yang berlaku di sana? Labu telah menggigit telinga Labi di dalam pusingan yang ke 3. Secara kebetulan, di dalam pusingan ketiga juga, perlawanan di antara Tyson dan Holyfield terpaksa dihentikan kerana Tyson dengan penuh kesungguhan telah menggigit telinga Holyfield. Tentang bagaimana kejadian di Klab Boksing tersebut diulangi di Las Vegas 34 tahun kemudian secara “benar-benar kejadian” adalah sesuatu yang amat menakjubkan.

Dalam tahun 1994, sebuah filem Hollywood berjodol Richie Rich yang diarahkan oleh Donald Petrie dengan lakunan oleh Macaulay Culkin, terdapat satu insiden di mana seorang penyamun memaksa keluarga Richard Rich Sr (lakunan Edward Herrmann) untuk membuka pintu bilik simpanan yang dianggarkannya mempunyai harta karun. Penyamun tersebut menyangka bahawa kunci khas terpaksa digunakan untuk membuka pintu berkenaan. Bagaimanakah sebenarnya pintu tersebut boleh di buka? Hanya dengan nyanyian oleh Richard dan isterinya. Pernah kita dengar cerita ini? Di dalam Ali Baba Bujang Lapok (1961) pintu gua tempat menyimpan harta karun 40 orang penyamun hanya dapat dibuka dengan nyanyian yang amat unik. Kebetulan?

Menulis di dalam akhbar The Star memperingati 35 tahun meninggalnya P.Ramlee pada tahun lepas, Mohsin Abdullah menyebut tentang adegan di dalam Pendekar Bujang Lapok (1959) di mana terdapat beberapa zombi keluar dari kubur sambil menari. 24 tahun kemudian, video Thriller oleh Michael Jackson memperlihatkan bagaimana zombi keluar dari kubur masing-masing dan menari. Kebetulan?

Boleh jadi juga ramai diantara kita yang tidak tahu bahawa lagu Getaran Jiwa hasil ciptaan dan nyanyian P.Ramlee telah dinyanyikan di dalam versi Inggeris oleh penyanyi dan penulis lagu Amerika yang masyhur, Lobo dengan di beri jodol Whispers in The Wind. Bagaimana seorang yang sehebat Lobo yang di zaman kegemilangannya beberapa kali mencapai Top Ten hits telah mengambil irama dari ciptaan seorang anak Malaysia amatlah mengkagumkan.

Di dalam filem Laxamana Do Re Mi (1972), P.Ramlee telah membawa kisah tentang negeri Pasir Dua Butir yang tinggal menjadi padang jarak terkukur akibat diserang oleh Menteri Pasola. Maka, persidangan kerajaan negeri terpaksa dibuat di bawah pokok. Pernah dengar itu, tapi di mana ya? Raja Pasir Dua Butir memerlukan tiga orang laksamana yang membawa tikar terbang, teropong sakti dan bangsi hikmat untuk mengembalikan kerajaannya. Tetapi sebelum itu, ketiga-tiga laksamana itu terpaksa menolong seorang puteri bunian yang cedera di celah-celah pokok buluh betung. Zam zam ala kazam.

Nyatalah bahawa  sementara sains masih belum mampu menguasai keupayaan meramal, seorang seniman melayu, yang lahirnya tidak hebat dan matinya bukanlah seorang yang kaya mampu menzahirkan karya seni yang melangkaui dan mendahului zaman.

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 08 Jul 2009 @ 01 07 AM

EmailPermalink
 

Responses to this post » (None)

 

Post a Comment

You must be logged in to post a comment.

\/ More Options ...
Change Theme...
  • Users » 74
  • Posts/Pages » 54
  • Comments » 624
Change Theme...
  • VoidVoid « Default
  • LifeLife
  • EarthEarth
  • WindWind
  • WaterWater
  • FireFire
  • LightLight

Photo Album



    No Child Pages.

Contact Me



    No Child Pages.

Chat Box



    No Child Pages.

Resume



    No Child Pages.

GuestBook



    No Child Pages.