04 May 2009 @ 2:00 PM 
 

HENTIKAN MAKAN TELUR PENYU DAN SIRIP YU

 

Gambar Hiasan ( Dipetik dari dive.scubadiving.com)

Saya di alam sekolah menengah pada pertengahan 1970an saya berkesempatan ke Rantau Abang, Terengganu untuk melihat penyu bertelur. Tentunya pada masa itu kepada saya, penyu adalah penyu. Apa yang saya amat pasti ialah telur penyu dijual dengan berleluasa.

Hanya apabila saya berjumpa dengan kartunis terkemuka Lat pada awal 1990an di Lapangan Terbang Sultan Mahmud Kuala Terengganu baru saya mula mengambil inisiatif tentang nasib dan masa depan spesis yang terancam itu. Lat memberitahu saya bahawa dia ke Terengganu melawat pusat perlindungan penyu di Rantau Abang – the Rantau Abang Turtle Sanctuary. Nyatalah dia amat bimbang dengan ancaman ke atas penyu yang mendarat di Rantau Abang.

Bahkan Lat pernah membuat karikatur tentang pengalamannya di Rantau Abang. Bagaimana penyu dijadikan bahan exhibition – menjadi tontonan dan hiburan orang ramai. Sudirman menyanyi tentangnya. Penyair unggul Terengganu Allahyarham JM Aziz berpuitis tentangnya dengan bait-baitnya: penyu menangis siapa tahu, sebak dadanya sebak, tak tahu adik tak tahu, bengkak jantungnya bengkak, tak tahu adik tak tahu.. telur penawar hatinya lebur.

Kebimbangan Lat, luahan perasaan Sudirman dan cetusan hati JM Aziz itu sebenarnya bukan tidak bertempat. Saya mula tahu bahawa penyu belimbing adalah dari spesis yang paling besar dan paling terancam. Pada tahun 1986, terdapat lebih 800 pendaratan di rekod di Rantau Abang – kepada hanya 10 pada tahun 1998.

Dalam tempuh dua dekad sahaja terdapat kadar penurunan sebanyak 90% di dalam pendaratan. Mengatakan penyu belimbing telah pupus mungkin satu yang secara teknikalnya tidak tepat. Tetapi kalau tiada apa-apa di buat oleh manusia pengguna, status critically endangered ini akan berubah kepada effectively extinct dalam tempoh yang paling hampir.

Kalau saya ke pulau menaiki bot, saya akan mengambil inisiatif untuk memastikan bahawa anggota rombongan tidak akan mencampakkan apa-apa dari bot ke laut. Penyu samada dari spesis belimbing, sisik, lipas atau agar sebenarnya memakan ampai-ampai – dan amat terdorong untuk memakan beg plastik yang dicampak ke laut kerana disangkanya ampai-ampai. Apabila penyu memakan beg plastik mereka akan mati tercekik. Dan statistik ini berterusan.

Sekarang musim mencandat sotong di Terengganu. Ia semacam satu fiesta. Kalau anda juga meminatinya, pergi lah. Bergembiralah. Bercandatlah sepanjang malam. Tetapi (a) jangan buang apa-apa bahan plastik ke laut dan (b) tolonglah bantu untuk mengutip bahan plastik itu jika anda menemuinya terapung di laut. Anda boleh membantu menyelamatkan spesis yang terancam dengan kritikal ini.

Saya tidak dapat menerima di antara kita yang masih memakan telur penyu walau dari apa pun spesisnya. Kepada saya ini adalah satu jenayah kemanusiaan. Bumi perlu kita selamatkan. Ini adalah pinjaman Allah kepada kita. Bukan sahaja untuk kita tetapi untuk generasi yang akan datang. Saya beruntung kerana dapat melihat penyu bertelur semasa saya kecil. Anak saya tidak pernah melihatnya. Dan saya pasti kalau kita manusia tidak memberikan kerjasama generasi selepas anak saya hanya akan mampu melihat penyu yang berbentuk replika di muzium sahaja. Kita telah gagal menjalankan tugas kita sebagai pemegang amanah di bumi Allah ini.

Saya tidak tahu di mana sedapnya telur penyu ini. Tetapi ia terus di jual dan di makan. Teori ekonomi menyebut tentang permintaan dan pembekalan. Masalahnya spesis yang terancam tidak mengetahui tentang teori ekonomi. Ini adalah soal survival mereka.

Sampai sekarang saya masih tidak berjumpa tentang mana-mana fatwa yang sahih berhubung dengan telur penyu ini. Yang jelas penyu haram di makan kerana ia hidup di dalam dua alam. Tetapi telurnya? Ada seorang pembaca akhbar tabloid bertanya soalan ini di alam ruangan agama. Dia menuntut faham kenapa telur penyu boleh di makan, sedang kan telur biawak tidak boleh. Anda tahu apa jawapan ustaz ini? Katanya telur penyu boleh di makan sebab penyu makan makanan yang bersih sedangkan biawak tabiatnya memakan benda yang kotor oleh itu telurnya juga diharamkan.

Tentang bila ustaz tersebut menyiasat tentang tabiat pemakanan penyu satu persatu di dasar laut itu tidak pula dinyatakan di dalam jawapannya!

Satu lagi yang saya fikir perlu disebutkan disini ialah keghairahan di antara kita yang kononnya untuk dilihat cool mempunyai kecenderongan untuk memakan makanan yang dianggap istimewa seperti sup sirip ikan yu. Tahukah anda bagaimana sirip yu di ambil? Tidak ramai diantara kita yang sedar bahawa sirip ini dihiris dari ikan yu hidup-hidup dan badannya dicampakkan ke laut untuk dibiarkan mati begitu.

Satu hirupan sup sirip ikan yu yang kita nikmati di restoran beerti kita mengesahkan kekejamanan dan kerosakkan di muka bumi ini. Sebagai khalifah, kita tidak dianjurkan untuk membuat kerosakan di bumi Allah. Kita wajib menjaga dan memuliharanya. Mencampakkan ikan yu ke laut selepas dihiris siripnya adalah satu pembunuhan yang nyata. Ia adalah perbuatan yang merosakkan makhluk Allah.

Di dalam Surah Al A’raaf: 53 ada disebut bahawa “dan janganlah membuat kerosakkan dimuka bumi sesudah (Allah) memperbaikinya”. Di dalam menerangkan maksud ayat ini Sayyid Qutb di dalam kitab tafsir Fi Zilalil Quran menjelaskan bahawa orang-orang yang kusyu’ berdo’a kepada Allah tidak akan melakukan perbuatan-perbuatan yang mendorong kepada kerosakan di bumi Allah atau menceroboh kuasa Allah.

Walau di mana anda berada selamatkanlah penyu dan ikan yu. Kalau tidak ada permintaan, pembekalan akan berhenti. Hentikan makan telur penyu dan sup sirip ikan yu. Kembalikan keindahan alam ini dengan kesungguhan dan komitmen kita untuk memuliharanya. Jadikan lah ini sebagai satu keazaman kita bersama!

Tags Categories: Warisan Perihatin Posted By: admin
Last Edit: 13 Jul 2009 @ 10 03 PM

EmailPermalink
 

Responses to this post » (None)

 

Post a Comment

You must be logged in to post a comment.

\/ More Options ...
Change Theme...
  • Users » 74
  • Posts/Pages » 55
  • Comments » 619
Change Theme...
  • VoidVoid « Default
  • LifeLife
  • EarthEarth
  • WindWind
  • WaterWater
  • FireFire
  • LightLight

Photo Album



    No Child Pages.

Contact Me



    No Child Pages.

Chat Box



    No Child Pages.

Resume



    No Child Pages.

GuestBook



    No Child Pages.