



Supremo Dap Lim Kit Siang tanpa segan silu membuat pengakuan terbuka bahawa apa yang dinamakan Pakatan Rakyat sedang menghadapi masalah krisis keyakinan. Untuk makluman, dalam lanskap politik Malaysia – ini bukan lah kali pertama pembangkang “berpakat” untuk menubuhkan satu ikatan bersama.
Sejarah memaparkan bahawa pada menghadapi PRU 1990, Pas dan parti Semangat 46 bersama-sama dengan Berjasa dan Hamim telah menubuhkan satu perikatan yang dinamakan Angkatan Perpaduan Ummah (APU). Dengan dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah yang menjadi the glue factor, satu gabungan baru pembangkang di Malaysia telah diusahakan dengan membawa bersama Dap dan Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan IPF pimpinan mendiang Tan Sri MG Pandithan. Gabungan baru ini dinamakan Gagasan Rakyat.
Beberapa hari sebelum PRU tersebut satu kejutan berlaku dari negeri di bawah bayu di mana pemimpin PBS, Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan telah mengisytiharkan partinya keluar dari BN untuk menyertai Gagasan Rakyat.
Gagasan Rakyat tidak bertahan lama. Pandithan contohnya bertanding di Teluk Intan dan kalah. Nama-nama besar yang lain di dalam Gagasan seperti Datuk Rais Yatim juga kalah di Jelebu. Tengku Razaleigh, disebalik keupayaan kepimpinannya sebagai faktor yang merapatkan jurang perbedaan ideologi parti-parti pembangkang seolah-olah sudah hilang punca. Satu parti menyeru kepada perlaksanaan hukum hudud bahkan telah meluluskan enakmen yang sedemikian di Kelantan. Satu parti menyeru kepada konsep Malaysian Malaysia. Ini belum lagi hendak berhadapan dengan tuntutan 20 perkara dari Sabah. IPF kemudian berpisah dengan Gagasan untuk berusaha mengganggotai BN.
Ternyata kemudiannya Gagasan Rakyat tidak mempunyai kerelevanan politik lagi dan BN kembali pulih dari set back PRU 1990 dengan keputusan yang memberansangkan pada PRU 1995. Tiba-tiba pembangkang mendapat satu nafas baru dengan pemecatan Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden Umno pada tahun 1998. Gerakan reformasi bermula. Nafas baru ini mendorong kepada penubuhan pakatan pembangkang yang baru yang kini di namakan Barisan Alternatif (BA). Kali ini BA dianggotai oleh Pas, Dap dan Parti Keadilan Nasional (KeADILan). Politik negatif bermaharaja lela dengan gelaran seperti mahafiraun dijadikan sebagai bahan kempen harian. Media baru mula mendapat tempat sebagai alat berkempen.
Pas adalah parti yang mendapat manafaat yang paling banyak daripada PRU 1999. Tidak pernah di dalam sejarah mereka mempunyai ahli Parlimen berjumlah 27 orang berbanding dengan hanya 7 orang pada tahun 1995. Mereka mempertahankan Kelantan, merampas Terengganu dan mempunyai kekuatan yang boleh menggugat DUN Kedah. Tan Sri Sanusi Junid, walaupun beliau menang bertanding sebagai ADUN memilih untuk tidak kekal sebagai Menteri Besar Kedah.
Agak malang bagi Dap. Barisan Alternatif tidak mampu memikat pengundi-pengundi Cina kepada mereka. Dua nama besar mereka, Kit Siang turut kalah dan Karpal Singh pula tumbang di Jelutong. Kekalahan dua nama besar yang terlalu sinonim dengan Dap ini menyebabkan mereka mengkaji balik kedudukan mereka di dalam BA. Sementara satu parti bergerak kepada penubuhan negara teologi Islam, seorang pemimpin Dap pula mengatakan bahawa langkah mayat nya dahulu sebelum negara Islam itu menjadi realiti. KeADILan pula terkepit ditengah-tengah.
Untuk kali keduanya barisan pembangkang menjadi satu barisan yang berkecai seperti enau di dalam belukar yang melepaskan pucuk masing-masing. Jurang mereka terlalu lebar sehingga tergamak Dato’ Seri Abdul Hadi Awang merujuk kepada kedua-dua pemimpin Dap tadi sebagai ubat yang habis tempoh luput – medicine whose shelf-life had expired. Ini bukan kata-kata azimat untuk teman-teman seperjuangan sebelum menghadapi PRU 2004, tetapi ini lah ayat yang diungkapkan oleh Hadi.
Takdir Allah telah menentukan bahawa Hadi kalah di Marang di PRU tersebut sedang Kit Siang dan Karpal menang bergaya di Ipoh Timur dan Bukit Gelugur. Dengan nada combative Karpal kemudiannya menyatakan bahawa sementara dia dan Kit Siang akan mengangkat sumpah sebagai MP di Dewan Rakyat pada 17 Mei 2004, sedang Hadi pula telah menjadi fossil. Dap keluar dari BA. Sementara itu, KeADILAN telah bergabung dengan PRM untuk menjadi Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setelah dua gabungan pembangkang menempuh kegagalan, lanskap politik Malaysia mengalami perubahan besar pada PRU 2008. Perlu diingat, ketiga-tiga parti utama pembangkang – Pas, Dap dan PKR bertanding di atas tiket masing-masing. Tiada manifesto bersama dan tiada logo yang sama seperti BN. Kita berhadapan dengan tiga manifesto dari tiga parti yang berlainan. Pas dengan “Menuju Negara Berkebajikan”. PKR dengan “Harapan Baru Untuk Malaysia” manakala Dap dengan “Just Change It!”.
Selepas rakyat membuat keputusan pada 8 Mac 2008 ketiga-tiga parti ini, atas nama menubuhkan kerajaan-kerajaan negeri di Selangor dan Perak (Dap menang mutlak di Pulau Pinang dan Pas menang mutlak di Kedah) telah bersetuju untuk menubuhkan kerajaan campuran dengan PKR menjadi Menteri Besar di Selangor. Setelah polemik penuh kontroversi di Perak, Dap akhirnya beralah dengan bersetuju menyokong calun Pas sebagai Menteri Besar walaupun jumlah ADUN Pas hanyalah enam sahaja.
Hanya pada bulan April 2008 Pakatan Rakyat diumumkan penubuhannya - ia adalah satu pakatan yang longgar – dan kerajaan negeri-negeri lima negeri di kenali sebagai kerajaan Pakatan Rakyat. Kita memahami ada masalah di peringkat awal, seperti layaknya mana-mana gabungan yang mempunyai ideologi perjuangan yang berbeda. Soalannya: sampai bilakah Pakatan Rakyat ini akan bertahan dan tidak menimpa nasib seperti yang di alami oleh APU, Gagasan Rakyat dan Barisan Alternatif?
Kekangan ideologi part-parti gabungan PR ini tidak menjanjikan bahawa mereka akan kekal lama. Kalaupun ada glue factor diantara gabungan itu, ianya terletak di dalam wibawa dan keupayaan Anwar Ibrahim sebagai pemimpin PR dan ketua pembangkang di Dewan Rakyat. Tetapi, Anwar, seperti Tengku Razaleigh di dalam Gagasan Rakyat, hanyalah seorang manusia biasa. Pemimpin datang dan pergi. Parti yang kukuh dan berkesan, yang berharap untuk memimpin sebuah kerajaan persekutuan dan disegani dunia tidak boleh bersandar di atas watak, karisma dan ketokohan seorang pemimpin. Gabungan itu mesti bersandarkan kepada kekuatan struktur dan persamaan ideologi . Apakah PR mempunyai kriteria ini?
Dua faktor penting sepanjang muktamar Pas hujung minggu lalu telah menggugat gabungan ini. Ia bukan sekadar ribut di dalam cawan. Menggunakan bahasa William Shakespeare, ia bukan juga Much Ado About Nothing. Ini adalah kemuncak perbedaan struktur yang berpotensi untuk menggugat, menggigit dan merobek pakatan yang selama ini pun terlalu longgar. Pertama tentang bagaimana Presiden Pas, Hadi bersungguh-sungguh melontarkan idea tentang kerajaan perpaduan. Bahawa dia juga mengheret PKR dan DAP sebagai telah bersetuju dengan saranan untuk berunding itu telah memburukkan lagi suasana. Setiausaha Agung Dap Lim Guan Eng di dalam satu penafian tegas mengatakan bahawa Dap tidak pernah atau pada bila-bila masa bersetuju dengan perundingan perpaduan di antara Pas dan Umno. Kit Siang bertindak dengan lebih jauh lagi mengatakan bahawa Pakatan Rakyat sekarang sedang menghadapi “krisis keyakinan”.
Kedua ialah apabila Pas meluluskan usul bagi menggesa Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat dan seterusnya mengharamkan pertubuhan wanita Sisters-In-Islam (SIS) jika terbukti menyeleweng dari aqidah Islam. Di dalam manifesto PRU 2008 Pas menjanjikan untuk “mengembalikan amalan demokrasi tulen” dan membebaskan rakyat dari “dibelenggu ketakutan akibat Akta-Akta zalim”. Di dalam manifesto yang sama Pas mengutuk BN kerana “tidak ada ruang bagi memuatkan pandangan lain” dan gagal untuk membela hak asasi rakyat.
Saya tidak sentiasa bersetuju dengan semua pandangan SIS. Tetapi saya tidaklah sampai kepada peringkat untuk mengharamkan mereka hanya semata-mata pendapat saya tidak sealiran dengan pandangan mereka. Sebab itu saya memilih untuk berinteraksi dengan mereka dan berdialog dengan mereka. Bahkan saya pernah menerima jemputan mereka untuk menyampaikan satu ucapan bersama-sama dengan Profesor Clive Kessler, seorang profesor sosiologi dari University of New South Wales.
Pas perlu diperingatkan bahawa tindakan mereka untuk melenyapkan suara-suara dissent adalah berlawanan dengan manifesto PRU mereka sendiri.
Pendirian Pas seperti yang dizahirkan di dalam usul yang diluluskan di dalam muktamar itu tentunya mengejutkan rakan-rakan mereka di dalam PR. Kalau pun ada common denominator antara parti-parti di dalam PR ia adalah bersandarkan kepada hak untuk kebebasan bersuara. Kalau ini telah digugat, di mana lagi ruang persamaan?
Sebab itu saya katakan bahawa retak di dalam PR adalah retak menunggu belah. Ini adalah satu perbedaan struktur dan ideologi. Lebih penting Pas suka melihat mereka sebagai pemimpin PR seperti Umno memimpin BN. Sementara mereka tiada pilihan untuk menerima Anwar sebagai pemimpin PR dan ketua pembangkang, saya amat yakin mereka tidak akan menerima siapa pun sebagai Perdana Menteri kecuali Hadi. Tentunya sifat big brother ini akan menyebabkan rakan-rakan mereka di dalam PR akan merasa terancam dan gelisah. PR tidak mampu untuk berdepan dengan PRU-13 di dalam keadaan dalaman yang seperti ini. Ia adalah satu structural crisis dan bukannya, meminjam kata-kata Anwar, “perselisihan kecil yang digembar-gembur oleh media Umno-BN”.
Ada satu dua peristiwa lain yang boleh saya sebutkan sebagai gambaran bahawa PR sudah hilang permuafakatannya. Contohnya, mengapakah Mohd Hamdan Abdul Rahman satu-satunya ADUN Pas (Permatang Pasir) tidak dilantik sebagai exco di dalam kerajaan PR Pulau Pinang? Atau Lee Guan Aik satu-satunya ADUN Dap (Kota Darul Aman) juga tidak dilantik sebagai exco di dalam kerajaan PR di Kedah? Saya belum mengulas tentang desakan Dap agar lapan ahli Majlis Perbandaran Seberang Prai (MPSP) dari PKR meletakkan jawatan. Bagaimana pula kecaman Guan Eng yang merujuk tingkah Pas berunding dengan Umno sebagai satu perbuatan hipokrasi? Saranan Karpal supaya Anwar bertaubat?
Pada hemat saya, PKR tidak perlu beria-ia meminda perlembagaan mereka untuk menjadi lebih telus dan demokratik. Yang perlu dan lebih utama diinstitusikan sekarang oleh pembangkang ialah penubuhan dan pendaftaran rasmi Pakatan Rakyat. Yang perlu reformasi dan pengukuhan struktur ialah gabungan pembangkang itu sendiri. Saya ingin melihat siapa pengerusinya, timbalannya, naib-naib pengerusinya dan penjawat-penjawat lain seperti setiausaha, bendahari dan ketua penerangan. Saya juga ingin melihat manifesto bersama mereka dan lambang mereka. Saya ingin melihat di dalam PRU-13 biar rakyat diberi pilihan antara lambang dacing BN dan lambang pilihan PR walau apapun ia. Biarlah lambang-lambang bulan, mata yang terbuka atau roket menjadi lipatan sejarah!


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 
baby grand piano…
Hello ;) Thanks heaps for this indeed!… if anyone else has anything, it would be much appreciated. Great website Super Piano Links http://www.en.Grand-Pianos.org Enjoy!…