



Dua tiga hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini saya mengambil kesempatan untuk menziarahi bekas pemain bolasepak kebangsaan, Yahya Jusoh. Saya kenal Yahya sejak kecil dan tahu benar bahawa beliau adalah seorang yang amat berjasa kepada negeri dan negara.
Setelah sekian lama tidak mendapat pingat emas di Sukan SEA, Malaysia berjaya mendapat pingat emas di temasya tersebut yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1977. Yahya ialah seorang yang dari pemain pasukan yang gemilang itu.
Pada tahun 1980, Malaysia buat kali kedua nya layak menyertai Sukan Olimpik yang diadakan di Moscow setelah berjaya menumpaskan Korea Selatan. Yahya juga adalah salah seorang pemain di dalam pasukan kebangsaan. Malangnya, di atas sebab Malaysia seperti 60 negara lain yang diketuai oleh Amerika Syarikat, telah memboikot Sukan itu atas alasan tuan rumah Soviet Union telah mencerobohi Afghanistan. Tempat Malaysia, sebaliknya digantikan dengan Iraq.
Walaupun Yahya tidak ke Moscow 1980, tetapi secara teknikalnya dia boleh lah di istilahkan sebagai seorang Olympian kerana sememangnya pasukan negara layak ke sana. Beliau juga menyertai senarai istimewa anak Terengganu yang pernah mengharumkan nama negeri – abangnya sendiri, Harun Jusoh (1972, Munich) dan Allahyarham Kamaruddin Maidin (1960, Rome). Jarang anak Terengganu boleh mencapai tahap setinggi ini. Senarai ini amat pendek, dan dalam masa terdekat ini sukar untuk melihat ianya berkembang.
Bukan senang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Bayangkan, setelah hampir 30 tahun selepas Moscow, pasukan bolasepak negara kita masih terlonta-lonta hilang arah. Menurut kata Allahyarham Mokhtar Dahari, untuk menjadi seorang pemain bolasepak yang baik, seseorang itu hendaklah mempunyai tiga sifat – disiplin, dedikasi dan tekad. Amat jelas Yahya mempunyai sifat-sifat ini untuk mencapai apa yang telah diperolehi sepanjang kareer bolasepaknya.
Kami banyak bercerita tentang sejarah kegemilangan bolasepak negara – bagaimana pasukan kita turun tanpa Mokhtar Dahari di dalam Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional, Kallang di Singapura pada tahun 1977. Sementara badannya kelihatan uzur, minda Yahya masih tajam. Dia bercakap soal semangat perjuangan, soal kesungguhan dan soal patriotisme. Ini lah yang membezakan pasukan yang melayakkan diri ke Olimpik pada tahun 1972 dan 1980 dengan pasukan kebangsaan sekarang.
Yahya sedang menderita sakit saraf yang melibatkan cervical spine. Tentunya usaha untuk rawatan memerlukan belanja yang banyak. Saya berharap Kerajaan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan melaui YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) akan tampil membantu seorang wira yang berjasa dan telah mengharumkan nama negara di persada dunia.
Ahli-ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dianugerah dengan pelbagai bintang kehormatan negeri dan negara. Anggota keselamatan seperti Kanang Anak langkau di kurniakan dengan Pingat Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa. Bagaimana kita menghargai wira-wira sukan negara seperti Yahya? Atau mereka akan terus menjadi wira yang tidak didendang?
Bersama Olympian dan wira negara Yahya Jusoh dirumahnya. Dibelakang kami ialah gambar pasukan kebangsaan di Pra Kelayakan Piala Dunia 1977 ketika menentang Singapura. Yahya duduk dikiri sekali.


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 