



Pada 21 November yang lalu, saya telah dijemput untuk merasmikan majlis penutup Kursus Penyembelihan Unit Bina Insan yang dianjurkan oleh Kemas Parlimen Kuala Terengganu. Menjadi tuan rumah kursus tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Makam Lama di Kuala Terengganu.
Di akhir ceramah yang diberikan oleh wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), satu sessi amali di adakan di mana peserta diajar dan dibimbing bagaimana untuk menyembelih ayam mengikut kehendak dan keperluan syariat. Saya sempat melihat dengan jelas sessi amali ini, walaupun saya sendiri tidak mengambil bahagian. Menariknya, setiap peserta yang menyembelih ayam boleh membawa balik haiwan berkenaan ke rumah masing-masing. Kari? Goreng Kunyit? Terpulang lah.
Memang benar, Islam memberikan satu garis panduan yang boleh dikatakan terperinci dengan menggunakan objek yang tajam. Ia juga perlu dilakukan di leher haiwan yang berkenaan yang nyatanya pada urat nadi atau kerongkongya. Dengan cara ini, darah akan mengalir keluar dengan cepat memudahkan kematian tanpa memanjangkan tempuh kesakitan haiwan berkenaan.
Tetapi di dalam ucapan penutup saya, saya menyentuh tentang halalan toyibban. Sebagai contoh di dalam Surah al Maaidah: 88 Allah swt telah memerintahkan kita agar: “Makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepada kamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada Nya”. Kata kunci di dalam ayat ini ialah halalan toyyiban ia itu yang “halal lagi baik”.
Ringkasnya di dalam Islam kita bukan sahaja dituntut memakan makanan yang halal tetapi juga yang bersifat baik serta bermutu tinggi. Tetapi dengan jumlah umat Islam di seluruh dunia dan kekuatan kuasa membeli, mampukah umat Islam memastikan bahawa mereka memperolehi barangan yang halal dan baik di mana sahaja mereka berada?
Jika seorang Yahudi menaiki mana-mana kapalterbang dia boleh membuat tempahan awal dengan syarikat penerbangan berkenaan untuk disajikan dengan makanan kosher. Istilah kosher di sini bermaksud makanan yang berkenaan termasuk cara penyembelihan haiwan disediakan mengikut cara agama mereka. Anak kapal akan membuka makanan tersebut di hadapan penumpang dan mempamirkan sijil yang ditandatangani dan disahkan oleh seorang Rabbi, ahli agama orang-orang Yahudi.
Kalau seorang Yahudi pergi ke pasar raya di serata dunia dia juga tidak akan menghadapi masalah untuk mencari makanan yang disediakan mengikut agamanya. Dia hanya perlu mencari tanda huruf “U” di dalam lingkaran “O” seperti Ⓤ di mana-mana kotak makanan. “OU” ini beerti makanan berkenaan ialah makanan kosher yang disahkan.
Adalah di anggarkan terdapat hampir 13 juta orang penduduk Yahudi di dunia. Sementara itu penduduk Islam dunia mengikut statistik terakhir telah mencecah 1.6 bilion orang atau 24% daripada keseluruhan penduduk dunia. Bayangkan potensi pasaran umat Islam dengan jumlah yang begitu besar.
Tetapi, potensi pasaran sahaja tidak mencukupi untuk kita dipandang mulia oleh masyarakat dunia. Umat Islam mesti mempunyai keupayaan ekonomi dan kuasa membeli. Mereka juga perlu menguruskan pasaran makanan halal dengan cara yang lebih baik dan tersusun.
Oleh itu untuk banyak lagi perkara yang perlu dibuat oleh umat Islam untuk muncul sebagai umat yang dihormati di dunia ini. Bukan setakat cara menyembelih seekor ayam. Bukan setakat pemakanan yang halal lagi baik. Lebih dari itu, keupayaan kita untuk mengurus masyarakat dan diri kita. Yang kecil tetapi tersusun sebenarnya boleh mempengaruhi dan menakluk dunia dari yang besar tetapi tidak teratur, tidak mempunyai disiplin dan tidak mempunyai kekuatan ekonomi. Yang ramai tidak beerti kuat dan di segani. Yang hak tidak beerti akan menang. Yang batil tetapi tersusun mampu meranapkan yang hak tetapi berkecamuk.
Ini lah mesej yang saya cuba sampaikan kepada peserta kursus tersebut.
*Gambar: Sedang memerhatikan seorang peserta menyembelih seekor ayam di dalam sessi amali.


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 
Menjadi tuan rumah kursus tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Makam Lama di Kuala Terengganu…..
Блестящая мысль…