



Pada hari Isnin yang lepas saya sempat berkunjung ke Kg Kubang Parit dan Kg Alor Binjai untuk membuat walk-about dan juga menziarahi pesakit-pesakit kronik dia kedua-dua kampung tersebut.
Bersama-sama saya ialah Sdr Roslee Bidi dan Pak Hashim, pemimpin tempatan kampung berkenaan.
Di dalam membuat lawatan dari rumah ke rumah, kebetulan saya melalui rumah yang kelihatan ramai suri rumah sedang berkumpul. Saya singgah menjenguk. Rupanya mereka sedang bergotong royong memasak asidah sebagai persiapan untuk menjamu tetamu di dalam satu majlis Maulud Rasul saw yang akan diadakan di sebelah petangnya.
Apa yang menarik ialah mereka ini jugalah yang menjadi kumpulan selawat kampung itu. Salah seorang dari mereka dengan perasaan separuh bangga memberitahu saya bahawa kumpulan mereka mempunyai empat pasang baju dan sering mendapat jemputan. Saya senyum kerana seorang kakak mencelah, “kalau Dato’ dapat beri sumbangan, boleh lah cukup lima pasang!”
Saya diminta sungguh-sungguh oleh “Chef” mereka untuk merasa hasil masakan yang masih panas di kuali. Dan saya tidak mengecewakan mereka kerana kebetulan asidah itu sudah masak dan bawang goreng pun sudah tersedia. Tapi saya mengatakan bahawa bukti sedap sesuatu asidah itu ialah bila kita makan, ia tidak akan lekat di lelangit kita. Saya menjamahnya, amat sedap kerana ia tidak manis sangat dan berjaya melepasi ujian penting supaya tidak terlekat di lelangit.
Kuih ini ialah kuih tradisi. Saya tidak pasti dari mana asalnya tetapi saya dapat mengagak dengan penggunaan minyak sapi berkemungkinan ia mempunyai pengaruh timur tengah. Tepung gandum, daun pandan, santan, telur ayam, gula adalah bahan-bahan yang lainnya.
Budaya gotong royong masih bugar di kalangan kita. Di sebelah paginya mereka masak bersama-sama. Di sebelah petangnya bersama-sama pula berselawat memuji Rasulullah saw. Tahniah dan syukur!


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 
[...] Wan Ahmad Farid Bin Wan Salleh » Blog Archive » KG KUBANG PARIT … [...]