



Saya mengenali Saifuddin Nasution Ismail, MP sejak tahun 1998. Pada masa itu saya baru sahaja memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno bahagian Kuala Terengganu. Saifuddin pula baru dilantik sebagai Penolong Setiausaha Pemuda Umno Malaysia oleh ketuanya pada masa itu Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Kami menghadiri kursus kepimpinan di sebuah pusat agro di Setiu.
Hari terakhir kursus Zahid datang bersama-sama dengan Saifuddin dan Rahim Ghouse. Itu lah kali pertama saya bertemu dengan Saifuddin. Pada masa itu, saya melihat dia sebagai seorang yang tahu apa yang dia buat. He gave the impression that he knew what he was doing. Dan sementara kami tidak terlalu akrab, tapi persahabatan kami bercambah disitu.
Saya seorang yang liberal di dalam persahabatan tanpa membataskannya melalui sempadan politik kepartian. Sebab itu selepas peristiwa 2 September 1998 dan pemecatan beliau dari Umno, kami sentiasa bersalam dan bertanya khabar bila berjumpa. Lebih-lebih lagi pada satu masa, Saifuddin menjadi jiran kepada abang saya di Taman Setiawangsa. Bahkan saya boleh berkongsi cerita bagaimana sebagai jiran yang baik, Saifuddin berjaya membantu untuk mengejar pencuri yang memecah masuk rumah abang saya.
Tetapi minggu lepas saya terbaca berita tentang ulasan Saifuddin berhubung dengan ucapan Datuk Seri Zahrain Hashim MP (Bayan Baru) di Dewan Rakyat. Beliau merujuk Zahrain dan rakan-rakannya yang keluar PKR untuk menjadi MP bebas dengan menggunakan perkataan “BN’s attack dogs, hired mercenaries“. Saya tidak tahu apa terjemahan yang tepat kepada istilah ini, tetapi bolehlah di rujuk sebagai “anjing serangan dan askar upahan” kepada BN.
Saya fikir kali ini Saifuddin akan terlajak di dalam ulasannya. Lebih-lebih lagi dia membayangkan seolah-olah ucapan Zahrain adalah disediakan oleh BN. Malaysiakini memetik Saifuddin sebagai berkata: They are prepared texts and manufactured issues.Hanya kerana seseorang itu keluar parti maka secara automatik dia menjadi anjing serangan dan askar upahan. Masalah Zahrain sebenarnya tidak ada kena mengena dengan Umno. Dia tidak keluar PKR untuk masuk Umno. Bahkan pendiriannya terhadap ISA amat jelas. Dia sudah menyatakan bahawa dia tidak bersetuju dengan Akta itu. Zahrain sebenarnya sudah penat dengan sandiwara di dalam PKR. Kenapa Umno diseret sama di dalam perhitungan intra group ini? Sebagai parti politik, Umno pun kadang-kadang ada masalah sesama sendiri. Tetapi kita tidak pernah dengar Umno menuduh PKR atau Pas sebagai yang menyediakan skrip apabila ada berlaku tohmah mentohmah sesama kita.
Kalau seseorang itu ada hak untuk masuk parti, sudah tentu dia mempunyai hak yang sama untuk keluar. Ini jaminan Perlembagaan Persekutuan. Bacalah Fasal 10. Adakah satu kesalahan yang amat besar untuk seseorang keluar partinya sehingga melayakkan dia untuk dipanggil anjing serangan dan askar upahan? Adakah PKR dan pemimpin mereka, tidak kira pemimpin de facto atau de jure telah mencapai tahap kesempurnaan sehingga mereka menjadi untouchables and beyond criticism?PKR bukan lah satu-satunya pertubuhan politik yang ahli mereka mempunyai sejarah keluar dari parti. Umno pun mempunyai sejarah tersendiri. ADUN dari Bota keluar dari Umno untuk masuk PKR pada 25 Januari 2009. Bukan keluar PKR untuk jadi ADUN Bebas, tetapi ADUN PKR. Ulang, ADUN PKR. Ada kita dengar saranan dari PKR supaya dia melepaskan jawatan ADUN bagi membolehkan pilihanraya kecil di adakan? Ada kita dengar Umno membuat solat hajat 7 hari berturut-turut sambil menjaja poster: “Lepaskan jawatan kamu sebagai ADUN Bota atau Ya Allah Hancurkan Nasaruddin Hashim”?
Benar Datuk Nasaruddin Hashim keluar Umno dan masuk PKR untuk satu tempoh yang singkat. Tetapi selepas gambarnya tertera di media dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim memakai jaket logo PKR kepadanya, saya tidak pernah mendengar dia digelar anjing serangan atau askar upahan. Saya pun tidak dengar fatwa dari Datuk Nik Aziz Nik Mat tentang halal haramnya tindakan Nasaruddin itu. Menggelarnya sebagai pecah amanah kepada rakyat atau buaya di balik batu.
Mungkin pada satu-satu masa kita boleh mengatakan setiap kali pembangkang di dakwa di mahkamah ia adalah satu konspirasi. Mungkin pada satu-satu masa kita boleh berkata bila ADUN atau MP pembangkang melompat parti mereka adalah barang dagangan yang boleh di jual beli. Mungkin pada satu-satu masa kita boleh mengatakan bahawa sesiapa yang menentang pembangkang adalah pengkhianat yang penuh dengan kurap-kurap kesalahan. Tetapi, tidak pada sepanjang masa dan tentunya tidak kepada semua rakyat. Logical fallacy ini tidak sepanjang masa dapat mengabui mata rakyat. Ada masa dan ketikanya ia tidak diterima lagi. Ini lah realpolitik yang sebenarnya.


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 