



Pada hari Isnin yang lepas saya sempat berkunjung ke Kg Kubang Parit dan Kg Alor Binjai untuk membuat walk-about dan juga menziarahi pesakit-pesakit kronik dia kedua-dua kampung tersebut.
Bersama-sama saya ialah Sdr Roslee Bidi dan Pak Hashim, pemimpin tempatan kampung berkenaan.
Di dalam membuat lawatan dari rumah ke rumah, kebetulan saya melalui rumah yang kelihatan ramai suri rumah sedang berkumpul. Saya singgah menjenguk. Rupanya mereka sedang bergotong royong memasak asidah sebagai persiapan untuk menjamu tetamu di dalam satu majlis Maulud Rasul saw yang akan diadakan di sebelah petangnya.
Apa yang menarik ialah mereka ini jugalah yang menjadi kumpulan selawat kampung itu. Salah seorang dari mereka dengan perasaan separuh bangga memberitahu saya bahawa kumpulan mereka mempunyai empat pasang baju dan sering mendapat jemputan. Saya senyum kerana seorang kakak mencelah, “kalau Dato’ dapat beri sumbangan, boleh lah cukup lima pasang!”
Saya diminta sungguh-sungguh oleh “Chef” mereka untuk merasa hasil masakan yang masih panas di kuali. Dan saya tidak mengecewakan mereka kerana kebetulan asidah itu sudah masak dan bawang goreng pun sudah tersedia. Tapi saya mengatakan bahawa bukti sedap sesuatu asidah itu ialah bila kita makan, ia tidak akan lekat di lelangit kita. Saya menjamahnya, amat sedap kerana ia tidak manis sangat dan berjaya melepasi ujian penting supaya tidak terlekat di lelangit.
Kuih ini ialah kuih tradisi. Saya tidak pasti dari mana asalnya tetapi saya dapat mengagak dengan penggunaan minyak sapi berkemungkinan ia mempunyai pengaruh timur tengah. Tepung gandum, daun pandan, santan, telur ayam, gula adalah bahan-bahan yang lainnya.
Budaya gotong royong masih bugar di kalangan kita. Di sebelah paginya mereka masak bersama-sama. Di sebelah petangnya bersama-sama pula berselawat memuji Rasulullah saw. Tahniah dan syukur!




Kreativiti menukarkan benda yang selama ini dianggap tidak berguna sebagai sesuatu yang bermanafaat. JKKK Pulau Kambing telah menjadikan falsasah ini sebagai satu realiti. Encik Alias bin Jantan dan jawatankuasanya telah mencadangkan agar penghujung Lorong 8 di Pulau Kambing yang selama ini satu jalan mati atau cul-de-sac dijadikan satu dewan serbaguna untuk aktiviti indoor games termasuk ping-pong.
Sebagai satu usaha simbolik, saya diminta untuk menanam pokok di luar dewan sebagai lambang cinta kita kepada alam sekitar. Timbalan saya, Haji Mohd Sabri Alwi, juga diminta majlis untuk menanam satu pokok.
Sedang meratakan tanah disekeliling pokok yang baru ditanam. Disebelah kiri saya ialah Alias dan Ibrahim Omar, Setiausaha Bahagian. Dibelakang ialah Ketua Wanita Umno Bahagian, Puan Hajjah Jannah Zaleha Nik.
Sekarang, kawasan yang dulunya semak samun, tempat ular sawa berlegar-legar sudah menjadi tempat riadah anak-anak muda Pulau Kambing. Tahniah JKKK Pulau Kambing!
Sedang menandatangani plak perasmian sambil diperhatikan oleh Alias dan Timbalan saya, Haji Mohd Sabri.
Dalam perjalanan saya ke rumah Ayah Ku di Lorong 1 untuk menziarah beliau yang uzur, saya membuat walk-about biasa dan berjumpa dengan dua orang warga emas berbangsa Tionghua yang memberi tahu saya walaupun sekarang mereka agak uzur dan berusia – satu perkara yang mereka tidak pernah lupa ialah mengundi Barisan Nasional sepanjang usia dewasa mereka. Xie xie ni!




Mamat rase malassang nök bangung tiddo. Nye gulling-gulling atah katil. Pusing kiri, pusing kanang. Serba dök kene dia berase. Mök Lijöh blèbèr hanyaar kot luör pitu, “Mat. Matahari nök tinggi galöh döh nim, ka’ak rezeki kalu bangung lèwat-lèwat. Mung tak dök kheje ke ari nim?”
Dök tahang kene blèbèr Mamat Ppayang pong bikah bangung ceggat dari katil. Baru dia teringat pukol 11 ada kene wat kheje sikit hök Böh dia suroh kemarèng. Mamat pong jungaa tangang dia ambèk tuala. Pèsèngang mandi P. Ramlee pulök pagi nim, al maklunglah pukol 10.30 döh. Dari Manir nök jembe ke Jalang Batah Baru tu jauh jugök. Pah tu nök kena bereti stèsèng minyok Petronah pulök dekat sipang trapik lait Pulau Musang. Döp ingat starang nok tamböh minyök kemarèng. Dök dang 10 minit Mamat siap belaka döh. Minung air kopi-ö setegök dua lepah tu pakaa kasut kulit atah tangge kak lambo. Baru beli minggu lepah tu kasut tu. Bekilat ssiö! Lepah tu Mamat pong stak möto vroooooong hale ke bandö. Mötosika sèkèng hèng jer, tapi boleh tahang lah.
Jalang Batah Baru ader banyök bangunang jabbat dengang kedaa. Kalu hale ke depang sikit ada kedaa Astro, hök tv kene bayö bulang-bulang tu. Kalu tebèng dök bayö jer kena pötöng hanyaar. Lepah pada suraa Flat Batah Baru tu ada lèrèk kedaa èkong. Kedaa makang pong ada gök. Kalu jallang sikit lagi sebelum kedaa Astro tu, ada kawasang lapang tepat juaa khète baru cap Hyundaa dengang Kia.
Di antara kedaa èkong dengang kedaa Astro tu ada celöh-celöh tu jabbat löyar baru buka. Pèsèngang baru pah jadi löyar tu Mamat mari mmkir sörrang. Slo-slo Mamat naèk tikat dua. Napök gaye ader dua örang jer kherani. Llaki sörang, ppuang sörang. Boleh tahang hök ppuang tu. Tapi pakaa cicing molèk ngak kat jari manih tu. Ttunang döh pèsèngang tu. Dök napök gambö starang. Berat nnanang. Mamat kabö ke kherani ppuang tu dia nök jjuper Tuang Löyar. Hayat hidup Mamat dök rajing jjuper löyar skali habuk. Cakkak dengang löyar jauh skali. Nye mari debö wèh.
Mamat pong ketok pitu masok. Löyar tu tengöh pegang gagang talipung cap Panasonic kat telinga dia. Wayar talipung tu tengöh beseranggöh lagi. “I dah uruskan fixed deposit you sebanyak RM10 juta tu. Lagi satu, minggu depan ni, I nak you ikut I ke Singapore. HSBC Singapore dah buat arrangment untuk finance syarikat klien I, tak banyak, dalam 20 juta Sing dollar. Firm I jadi lawyer jugak tu. I turun KL minggu ni, kita dinner kat Shook di Starhill ok?”
Mamat bukang pandaa sangat cakak orang putih. Tapi bila dengö haa pitih die pahang. Mainang apa juta-juta nim? Mamat mari mmikir.
Löyar muder tu pong letök gagang talipung sambil-sambil kheling ujung mata tengök ke Mamat. “Yer, nök mender? Saya sibuk sangat ni, dök tengök ker?” löyar tu tanye Mamat.
Mamat pucat kesi. Dök tahu nök kata mende. Nök jawak salöh. Tak mboh jawak salöh. Macang mase nök bangung ttdo sakning. Serba dök kene. Sudöhhang Mamat tebèng jugök jawak.
“Sebenörnyer tuang, sayer nim kheje dengang sarikat Teleköng. Saya mari nok sambung wayar talipung hök tuang wak lölök cakkak sakning. Dök sambung lagi wayar tu, guaner lah tuang boleh cakkak döh!”
Muka tuang löyar tu jadi biru hèrang!
Döh nök wat guana starang! Nök èksèng dök betepat! Ada jugök löyar kècèk orang dèh! Pecöh bo! Orang jamang lening kata “kantoi”




Pada 21 November yang lalu, saya telah dijemput untuk merasmikan majlis penutup Kursus Penyembelihan Unit Bina Insan yang dianjurkan oleh Kemas Parlimen Kuala Terengganu. Menjadi tuan rumah kursus tersebut ialah Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kg Makam Lama di Kuala Terengganu.
Di akhir ceramah yang diberikan oleh wakil Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), satu sessi amali di adakan di mana peserta diajar dan dibimbing bagaimana untuk menyembelih ayam mengikut kehendak dan keperluan syariat. Saya sempat melihat dengan jelas sessi amali ini, walaupun saya sendiri tidak mengambil bahagian. Menariknya, setiap peserta yang menyembelih ayam boleh membawa balik haiwan berkenaan ke rumah masing-masing. Kari? Goreng Kunyit? Terpulang lah.
Memang benar, Islam memberikan satu garis panduan yang boleh dikatakan terperinci dengan menggunakan objek yang tajam. Ia juga perlu dilakukan di leher haiwan yang berkenaan yang nyatanya pada urat nadi atau kerongkongya. Dengan cara ini, darah akan mengalir keluar dengan cepat memudahkan kematian tanpa memanjangkan tempuh kesakitan haiwan berkenaan.
Tetapi di dalam ucapan penutup saya, saya menyentuh tentang halalan toyibban. Sebagai contoh di dalam Surah al Maaidah: 88 Allah swt telah memerintahkan kita agar: “Makanlah makanan yang halal lagi baik dari apa yang Allah telah rezekikan kepada kamu dan bertaqwalah kepada Allah yang kamu beriman kepada Nya”. Kata kunci di dalam ayat ini ialah halalan toyyiban ia itu yang “halal lagi baik”.
Ringkasnya di dalam Islam kita bukan sahaja dituntut memakan makanan yang halal tetapi juga yang bersifat baik serta bermutu tinggi. Tetapi dengan jumlah umat Islam di seluruh dunia dan kekuatan kuasa membeli, mampukah umat Islam memastikan bahawa mereka memperolehi barangan yang halal dan baik di mana sahaja mereka berada?
Jika seorang Yahudi menaiki mana-mana kapalterbang dia boleh membuat tempahan awal dengan syarikat penerbangan berkenaan untuk disajikan dengan makanan kosher. Istilah kosher di sini bermaksud makanan yang berkenaan termasuk cara penyembelihan haiwan disediakan mengikut cara agama mereka. Anak kapal akan membuka makanan tersebut di hadapan penumpang dan mempamirkan sijil yang ditandatangani dan disahkan oleh seorang Rabbi, ahli agama orang-orang Yahudi.
Kalau seorang Yahudi pergi ke pasar raya di serata dunia dia juga tidak akan menghadapi masalah untuk mencari makanan yang disediakan mengikut agamanya. Dia hanya perlu mencari tanda huruf “U” di dalam lingkaran “O” seperti Ⓤ di mana-mana kotak makanan. “OU” ini beerti makanan berkenaan ialah makanan kosher yang disahkan.
Adalah di anggarkan terdapat hampir 13 juta orang penduduk Yahudi di dunia. Sementara itu penduduk Islam dunia mengikut statistik terakhir telah mencecah 1.6 bilion orang atau 24% daripada keseluruhan penduduk dunia. Bayangkan potensi pasaran umat Islam dengan jumlah yang begitu besar.
Tetapi, potensi pasaran sahaja tidak mencukupi untuk kita dipandang mulia oleh masyarakat dunia. Umat Islam mesti mempunyai keupayaan ekonomi dan kuasa membeli. Mereka juga perlu menguruskan pasaran makanan halal dengan cara yang lebih baik dan tersusun.
Oleh itu untuk banyak lagi perkara yang perlu dibuat oleh umat Islam untuk muncul sebagai umat yang dihormati di dunia ini. Bukan setakat cara menyembelih seekor ayam. Bukan setakat pemakanan yang halal lagi baik. Lebih dari itu, keupayaan kita untuk mengurus masyarakat dan diri kita. Yang kecil tetapi tersusun sebenarnya boleh mempengaruhi dan menakluk dunia dari yang besar tetapi tidak teratur, tidak mempunyai disiplin dan tidak mempunyai kekuatan ekonomi. Yang ramai tidak beerti kuat dan di segani. Yang hak tidak beerti akan menang. Yang batil tetapi tersusun mampu meranapkan yang hak tetapi berkecamuk.
Ini lah mesej yang saya cuba sampaikan kepada peserta kursus tersebut.
*Gambar: Sedang memerhatikan seorang peserta menyembelih seekor ayam di dalam sessi amali.




Dua tiga hari sebelum Hari Raya Aidil Fitri baru-baru ini saya mengambil kesempatan untuk menziarahi bekas pemain bolasepak kebangsaan, Yahya Jusoh. Saya kenal Yahya sejak kecil dan tahu benar bahawa beliau adalah seorang yang amat berjasa kepada negeri dan negara.
Setelah sekian lama tidak mendapat pingat emas di Sukan SEA, Malaysia berjaya mendapat pingat emas di temasya tersebut yang diadakan di Kuala Lumpur pada tahun 1977. Yahya ialah seorang yang dari pemain pasukan yang gemilang itu.
Pada tahun 1980, Malaysia buat kali kedua nya layak menyertai Sukan Olimpik yang diadakan di Moscow setelah berjaya menumpaskan Korea Selatan. Yahya juga adalah salah seorang pemain di dalam pasukan kebangsaan. Malangnya, di atas sebab Malaysia seperti 60 negara lain yang diketuai oleh Amerika Syarikat, telah memboikot Sukan itu atas alasan tuan rumah Soviet Union telah mencerobohi Afghanistan. Tempat Malaysia, sebaliknya digantikan dengan Iraq.
Walaupun Yahya tidak ke Moscow 1980, tetapi secara teknikalnya dia boleh lah di istilahkan sebagai seorang Olympian kerana sememangnya pasukan negara layak ke sana. Beliau juga menyertai senarai istimewa anak Terengganu yang pernah mengharumkan nama negeri – abangnya sendiri, Harun Jusoh (1972, Munich) dan Allahyarham Kamaruddin Maidin (1960, Rome). Jarang anak Terengganu boleh mencapai tahap setinggi ini. Senarai ini amat pendek, dan dalam masa terdekat ini sukar untuk melihat ianya berkembang.
Bukan senang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik. Bayangkan, setelah hampir 30 tahun selepas Moscow, pasukan bolasepak negara kita masih terlonta-lonta hilang arah. Menurut kata Allahyarham Mokhtar Dahari, untuk menjadi seorang pemain bolasepak yang baik, seseorang itu hendaklah mempunyai tiga sifat – disiplin, dedikasi dan tekad. Amat jelas Yahya mempunyai sifat-sifat ini untuk mencapai apa yang telah diperolehi sepanjang kareer bolasepaknya.
Kami banyak bercerita tentang sejarah kegemilangan bolasepak negara – bagaimana pasukan kita turun tanpa Mokhtar Dahari di dalam Kelayakan Piala Dunia di Stadium Nasional, Kallang di Singapura pada tahun 1977. Sementara badannya kelihatan uzur, minda Yahya masih tajam. Dia bercakap soal semangat perjuangan, soal kesungguhan dan soal patriotisme. Ini lah yang membezakan pasukan yang melayakkan diri ke Olimpik pada tahun 1972 dan 1980 dengan pasukan kebangsaan sekarang.
Yahya sedang menderita sakit saraf yang melibatkan cervical spine. Tentunya usaha untuk rawatan memerlukan belanja yang banyak. Saya berharap Kerajaan Negeri dan Kementerian Belia dan Sukan melaui YAKEB (Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan) akan tampil membantu seorang wira yang berjasa dan telah mengharumkan nama negara di persada dunia.
Ahli-ahli politik dan pegawai tinggi kerajaan dianugerah dengan pelbagai bintang kehormatan negeri dan negara. Anggota keselamatan seperti Kanang Anak langkau di kurniakan dengan Pingat Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa. Bagaimana kita menghargai wira-wira sukan negara seperti Yahya? Atau mereka akan terus menjadi wira yang tidak didendang?
Bersama Olympian dan wira negara Yahya Jusoh dirumahnya. Dibelakang kami ialah gambar pasukan kebangsaan di Pra Kelayakan Piala Dunia 1977 ketika menentang Singapura. Yahya duduk dikiri sekali.


More Options ...
Categories
Tag Cloud
Blog RSS
Comments RSS

Void « Default
Life
Earth
Wind
Water
Fire
Light 